Pengiklanan ia perkara yang tidak boleh dielakkan di dunia moden. Bagi menjana pendapatan tinggi, Meta menampal perkhidmatan mereka dengan puluhan iklan yang membuatkan pengalaman menggunakannya sangat menjengkelkan berbanding sedekad yang lalu. Di United Kingdom, Meta bakal melancarkan pelan langganan yang membolehkan Facebook dan Instagram digunakan tanpa sebarang iklan.

Pengguna perlu membayar £3 (~RM17) sebulan menerusi web atau £4 (~RM23) sebulan jika bayaran dilalukan menerusi Play Store dan App Store. Bayaran tambahan £2 (~RM11) sebulan untuk web atau £3 (~RM17) sebulan menerusi aplikasi dikenakan ke atas setiap akaun yang disenaraikan dalam Accounts Center pengguna.
Langganan Facebook dan Instgram ditawarkan di UK bagi memenuhi arahan “setuju atau bayar” mengenai penggunaan data peribadi pengguna bagi tujuan pengiklanan. Sebelum ini langganan telahpun ditawarkan hanya kepada pengguna di Kesatuan Eropah (EU). Jika pelan langganan ditawarkan oleh Meta di Malaysia, apakah harga yang sanggup anda bayar untuk tidak melihat iklan?






