Fahmi Fadzil gesa Meta beri penjelasan penuh laporan Reuters dakwa 10% keuntungan syarikat dari iklan aktiviti haram seperti penipuan dan judi.
PUTRAJAYA: Syarikat gergasi teknologi Meta perlu memberikan penjelasan penuh berhubung laporan Reuters yang mendakwa 10 peratus sumber keuntungannya berpunca daripada pengiklanan aktiviti haram.
Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata laporan tersebut membimbangkan kerana Meta didakwa menerima hasil daripada iklan yang menyalahi undang-undang Malaysia.
“Laporan agensi Reuters agak terperinci memberikan angka berdasarkan apa yang dipercayai merupakan dokumen dalaman pihak Meta sendiri,” katanya pada sidang media pascamesyuarat Jemaah Menteri.
“Sekiranya benar, ini amat membimbangkan kerana memberi bayangan bahawa antara sumber keuntungan bagi Meta itu adalah aktiviti haram, aktiviti yang melanggar undang-undang termasuk di Malaysia.”
BACA: Meta gagal banteras aktiviti jenayah dalam talian, kerajaan mungkin ambil tindakan lanjut – Fahmi
Fahmi yang juga jurucakap Kerajaan MADANI berkata setakat ini belum ada kenyataan yang memberangsangkan daripada pihak Meta berhubung laporan berkenaan.
Beliau menyatakan kesal dengan laporan yang keluar semalam dan menganggapnya sebagai sangat menggemparkan.
“Sudah pasti laporan yang sangat menggemparkan ini akan kita teliti dan menjadi asas untuk kita memanggil pihak Meta memberi penjelasan penuh,” katanya.
Laporan Reuters mendedahkan bahawa Meta meramalkan 10 peratus daripada pendapatan keseluruhannya pada 2024 berasal daripada iklan penipuan dan barangan yang dilarang.
Angka tersebut dianggarkan berjumlah kira-kira USD 16 billion berdasarkan dokumen dalaman Meta.
Dokumen tersebut menunjukkan syarikat gagal mengenal pasti dan menghentikan iklan yang mendedahkan pengguna kepada skim e-dagang dan pelaburan tipu.
Aktiviti lain termasuk judi dalam talian haram serta penjualan produk perubatan terlarang.
Secara purata, satu dokumen menyatakan syarikat menyalurkan sekitar 15 bilion iklan “berisiko lebih tinggi” kepada pengguna platformnya.
Berkaitan isu sama, Fahmi berkata pihaknya tidak berpuas hati dengan proses penurunan kandungan berisiko oleh Meta.
Beliau berkata setiap permohonan untuk menurunkan kandungan dikemukakan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia mengambil masa sekitar 30 hingga 45 minit.
“Dari 1 Jan hingga 15 Okt lepas, secara keseluruhan MCMC telah menghabiskan lebih kurang 22.2 tahun bekerja menghantar permohonan kepada Meta untuk diturunkan kandungan scam dan judi dalam talian,” katanya.
Fahmi berkata apabila Akta Keselamatan Dalam Talian berkuat kuasa kelak, platform media sosial diwajibkan memastikan kemudaratan dalam talian tidak lagi dapat diakses di Malaysia.
“Sekiranya mereka gagal, tindakan perundangan boleh diambil terhadap mereka,” tegasnya. – Bernama
Post Views: 1






