Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil menegaskan bahawa bukan dirinya, mahupun Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bertanggungjawab terhadap penggantungan sementara dua halaman Facebook milik Malaysiakini semalam.
Pada masa sama, katanya, pihak Meta turut memaklumkan kepadanya bahawa mereka tidak menggantung halaman Facebook Malaysiakini dan KiniTV.
Penggantungan itu berlaku hanya beberapa jam selepas Malaysiakini menyiarkan laporan yang membongkar rangkaian sekurang-kurangnya 263 akaun Facebook dipercayai terlibat dalam kempen tersusun untuk secara palsu melonjakkan sokongan terhadap Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

“Saya ingin jelaskan bahawa pihak saya dan MCMC tidak menerima sebarang aduan atau mengemukakan aduan berhubung laporan tersebut,” kata Fahmi pada sidang media pasca kabinet di Putrajaya hari ini.
“Saya tidak fikir Meta akan menipu. Malah saya lewat hadir (ke sidang media) kerana perlu mengesahkan perkara ini dengan Meta. Pertama sekali, mereka tidak menurunkan sebarang halaman,” katanya.
Bagaimanapun, tidak jelas sama ada Fahmi merujuk kepada halaman Malaysiakini atau akaun tentera siber yang lenyap selepas portal itu menghubungi Meta mengenai penemuannya sebelum laporan diterbitkan.
Seorang pegawai Fahmi kemudian menjelaskan bahawa setahunya, menteri hanya membincangkan isu penggantungan akaun Facebook Malaysiakini dengan penyedia platform media sosial itu.
Sementara itu, Fahmi turut mendakwa pejabat Meta di Singapura memaklumkan kepadanya bahawa Malaysiakini tidak mengajukan soalan khusus mengenai penggantungan halamannya.
Malaysiakini sebelum itu mendapati halamannya digantung selepas menerima notis daripada Facebook yang mendakwa portal tersebut melanggar garis panduan keselamatan siber.
Namun bercanggah dengan kenyataan Fahmi, Malaysiakini telah segera menghubungi wakil Meta melalui WhatsApp dan e-mel untuk bertanyakan mengenai penggantungan tersebut.
Pada jam 6.48 petang, seorang wakil Meta membalas e-mel kami dan mengesahkan mesej WhatsApp, sambil memaklumkan mereka sedang menyiasat perkara itu.

Pada jam 8.05 malam, Malaysiakini menerima e-mel yang memaklumkan halaman berkenaan telah dipulihkan.
Meta: Tiada bukti langgar dasar
Dalam respons berasingan terhadap pendedahan Malaysiakini berhubung rangkaian tentera siber di Facebook Anwar, Meta menyatakan setakat ini tiada tanda pelanggaran dasar platform itu.
Sebelum penerbitan laporan tersebut, Malaysiakini telah menyerahkan dokumen setebal 12 muka surat kepada Meta, memperincikan hasil siasatan, taktik rangkaian berkenaan serta menyerlahkan 13 akaun utama untuk tindakan lanjut.
Pejabat Perdana Menteri juga menafikan sebarang pengetahuan atau penglibatan dalam rangkaian itu, dengan menyatakan bahawa “tiada asas atau keperluan” untuk mengarahkan MCMC menjalankan siasatan serta menegaskan tiada dana awam digunakan dalam operasi tersebut.
Ditanya hari ini sama ada dia percaya sokongan terhadap Anwar benar-benar tulen, Fahmi berkata isu yang lebih besar ialah masalah pengesahan identiti di platform media sosial.
Dia merujuk kes baru-baru ini membabitkan seorang pemandu lori berusia 22 tahun yang ditahan kerana didakwa merogol seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun di Sungai Petani selepas berkenalan melalui media sosial.
“Semua platform media sosial tidak membenarkan kanak-kanak bawah umur 13 tahun memiliki akaun. Tetapi kini, kerana tiada eKYC (electronic Know-Your-Customer), tiada mekanisme pengesahan umur yang betul,” katanya.
Sehubungan itu, Fahmi sekali lagi menggesa penyedia platform media sosial di Malaysia melaksanakan pengesahan eKYC – satu inisiatif yang katanya boleh dikaitkan dengan dokumen rasmi kerajaan seperti MyKad, pasport atau MyDigital ID.






