Akaun Facebook Malaysiakini yang berkongsi pautan berita versi bahasa Inggeris dan KiniTV – serta akaun peribadi sekurang-kurangnya seorang pentadbirnya – telah digantung hari ini.
Akaun Facebook Malaysiakini mula menerima notis penggantungan berkenaan kira-kira jam 5.40 petang hari ini, kurang dua jam selepas ia mendedahkan rangkaian sekurang-kurangnya 263 akaun secara artifisial meningkatkan sokongan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim di laman Facebooknya sendiri.
Tidak jelas sama ada penggantungan itu mempunyai kaitan langsung dengan pendedahan berkenaan.
Notis dari Meta itu mendakwa akaun Malaysiakini telah melanggar garis panduan komuniti mengenai keselamatan siber.
“Teknologi kami mendapati halaman anda tidak mengikut piawaian komuniti kami.
“Akibatnya, teknologi kami mengambil tindakan,” kata notis itu.
Ia menambah bahawa peraturannya mengenai keselamatan siber melarang pengguna daripada “mengumpul maklumat sensitif daripada orang lain”, seperti mengakses akaun orang lain dengan atau tanpa kebenaran, atau menggunakan taktik pancingan data untuk mendapatkan maklumat log masuk seseorang.
Untuk rekod, siasatan Malaysiakini untuk laporan itu hanya bergantung pada maklumat yang boleh dilihat secara umum.
Sebelum laporan itu diterbitkan, Malaysiakini juga telah menghubungi Meta untuk mendapatkan maklum balas rasmi, termasuk dokumen setebal 12 muka surat yang memperincikan cara kerja rangkaian itu dan kajian kes terhadap 13 ahli berprofil tinggi.
Sebagai tindak balas, seorang jurucakap memberitahu Malaysiakini ia tidak menemui bukti tingkah laku tidak tulen terselaraskan (CIB) yang di halaman Facebook Anwar.
Malaysiakini dan KiniTV sudah membuat rayuan kepada Meta berhubung penggantungan akaun media sosial itu.
Akaun Facebook Malaysiakini BM – yang berkongsi pautan laporan versi bahasa Melayu – tidak terjejas setakat ini.






