Ibu pejabat Bersatu di Petaling Jaya, Selangor menjadi tumpuan malam ini dengan pimpinan parti itu berkumpul untuk mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) yang akan dipengerusikan presiden, Muhyiddin Yassin.
Terdahulu hari ini, Presiden Perkara Syed Hassan Syed Ali membangkitkan khabar angin bahawa Timbalan Presiden Bersatu, Hamzah Zainudin “akan dipecat malam ini”.
“Kalau benar ura-ura Hamzah akan dipecat malam ini, saya tidak hairan sebab antara agenda pimpinan tertinggi tertentu dalam Bersatu adalah untuk bawa Bersatu bekerjasama dengan PH akan tercapai.
“Mungkin mereka melihat Hamzah sebagai penghalang.
“Gerakan mereka untuk melemahkan pengaruh Hamzah dalam pimpinan tertinggi Bersatu sudah berjaya bila ramai ahli MPT yang menyokong Hamzah telah dipecat lebih awal,” dakwa Syed Hassan yang antara lain merujuk Anggota Parlimen Indera Mahkota Saifuddin Abdullah.
Saifuddin dipecat Bersatu pada 6 Januari lalu. Menurut surat lembaga disiplin parti itu, Saifuddin telah melanggar klausa 9.1.4 perlembagaan parti namun tidak memperincikan kesalahan khusus yang dilakukannya.
Namun pada Oktober tahun lalu, Saifuddin secara terbuka mendesak Muhyiddin berundur sebagai presiden Bersatu dan Azmin digugurkan daripada jawatan setiausaha agung parti.
Ketika dihubungi, seorang pegawai Hamzah mendakwa dia ada mendengar dakwaan khabar angin itu, namun enggan mengulas lanjut selain mengesahkan Hamzah akan hadir ke mesyuarat yang dijadual berlangsung lapan malam ini.

Semasa Perhimpunan Agung Bersatu tahun lalu, Hamzah menegaskan kesetiaannya kepada Muhyiddin, namun dakwaan bahawa dia menyokong usaha untuk mengambil alih kepimpinan parti itu masih berterusan sehingga hari ini.
Hamzah juga menjadi sasaran dua surat palsu yang menggunakan kepala surat Pejabat Ketua Pembangkang dan Bersatu, yang mendakwa dia telah meletakkan jawatan sebagai ketua pembangkang di Parlimen.
Penafian daripada pejabat Hamzah dibuat pada hari yang sama Muhyiddin mengesahkan bahawa dia akan berundur sebagai pengerusi PN.
Isu peralihan kepimpinan
Sementara itu, mesyuarat MPT Bersatu malam ini juga diadakan menjelang satu lagi mesyuarat Majlis Tertinggi PN yang belum ditetapkan, bagi mengesahkan peletakan jawatan Muhyiddin sebagai pengerusi serta melantik penggantinya.
Terdahulu hari ini, ketua Pemuda tiga parti komponen PN – kecuali Ketua Pemuda PAS Afnan Hamimi Taib Azamudden – menggesa Muhyiddin untuk menimbang semula peletakan jawatannya.
Menurut mereka, Perlembagaan PN menetapkan hanya presiden parti boleh memegang jawatan tersebut, susulan langkah PAS yang menuntut jawatan itu dan presidennya, Abdul Hadi Awang tidak mendedahkan calon daripada parti itu.
Ketiga-tiganya — Ketua Pemuda Bersatu Hilman Idham, Ketua Pemuda Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) Justin Prabakaran, dan Ketua Pemuda Gerakan Lee Boon Shian — telah menyuarakan pandangan mereka kepada Muhyiddin dalam satu pertemuan selama dua jam di kediaman bekas perdana menteri itu.
Di pihak PAS pula, Mursyidul Am Hashim Jasin, turut berkongsi gambar pertemuannya dengan Muhyiddin dan Setiausaha Agung Bersatu, Azmin Ali, malam tadi.
Sebelum ini, Menteri Besar Terengganu, Ahmad Samsuri Moktar — antara tokoh yang disebut-sebut sebagai calon bagi jawatan pengerusi PN — menjadi individu pertama yang bertemu Muhyiddin selepas anggota Parlimen Pagoh itu pulang dari London.






