Malaysia Oversight

Menteri puji peguam menang kes pekerja migran tak dibayar gaji

By MkiniBM in November 3, 2025 – Reading time 2 minute
Menteri puji peguam menang kes pekerja migran tak dibayar gaji


Menteri Sumber Manusia, Steven Sim memuji dua peguam yang menjalankan khidmat guaman secara pro bono (tanpa bayaran) bagi membantu 93 pekerja migran mendapatkan tunggakan gaji sebagai wira sebenar.

Sim turut menyambut baik keputusan Mahkamah Tinggi yang mengekalkan keputusan Mahkamah Buruh, yang menganugerahkan pampasan berjumlah RM760,000 kepada kumpulan pekerja tersebut. Mereka dilaporkan terdampar tanpa pekerjaan sebaik tiba di Malaysia pada tahun 2023.

“Kepada pasukan peguam yang terlibat — not all heroes wear a cape. Terima kasih,” katanya di platform X semalam.

Kenyataan itu dibuat sebagai respons kepada laporan Malaysiakini yang menyorot bagaimana salah seorang peguam, Sahain Nada Puthucheary terharu menitiskan air mata selepas kemenangan kes tersebut.

69ec0782be5bbf6491968f5d5feff46d

Sahain mewakili kumpulan pekerja migran itu bersama seorang lagi peguam, Joachim Xavier.

Kisah penderitaan pekerja ini pertama kali didedahkan oleh Malaysiakini dalam laporan pendedahan khas berhubung penipuan kuota pekerja pada November 2023.

Laporan itu mendakwa satu sindiket pengambilan pekerja migran melibatkan enam syarikat Malaysia membawa masuk ratusan pekerja menggunakan dokumen palsu serta mempergunakan kelompongan dalam sistem .

Secara kolektif, syarikat-syarikat tersebut dilaporkan memohon lebih 4,000 pekerja namun hanya 1,625 diluluskan. Ramai daripada pekerja itu tiba pada Januari 2023, tetapi mendapati tiada pekerjaan menanti mereka.

844a967cbc89d05ec7718aad60252e21
Peguam Sahain Nada Puthucheary.

Salah satu syarikat terlibat ialah Aecor Innovation Sdn Bhd, pihak yang kalah dalam keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam pada Khamis lalu.

Dalam penghakiman itu, mahkamah memutuskan majikan tidak boleh memperlakukan pekerja migran sebagai “tenaga kerja simpanan” atau pekerja dalam keadaan bersedia menunggu kerja.

Jumlah pampasan RM760,000 itu turut merangkumi RM120,000 bagi potongan tidak sah ke atas bil telefon, peralatan tidur, kelengkapan kerja, dan kos pembersihan.

Setiap pekerja akan menerima tunggakan gaji antara RM2,000 hingga RM11,000.

Dalam kenyataan pada Ahad, Sim memuji keputusan mahkamah tersebut yang mengesahkan pendirian Kementerian Sumber Manusia sejak Januari 2024 — bahawa semua majikan yang membawa masuk pekerja migran wajib membayar gaji sebaik mereka tiba di Malaysia, tanpa mengira sama ada terdapat kerja atau tidak.

Tegasnya, jika tiada kerja ditawarkan, majikan tidak sepatutnya membawa masuk pekerja berkenaan.



Source link