Malaysia Oversight

Menteri nafi polis cuba tutup kes Zara

By MkiniBM in August 18, 2025 – Reading time 2 minute
Menteri nafi polis cuba tutup kes Zara


PARLIMEN l Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail menafikan bahawa terdapat cubaan untuk menutup atau memanipulasi kes berhubung kematian tragis Zara Qairina Mahathir, 13 tahun di Sabah.

Walapun mengakui terdapat ketidakpatuhan terhadap beberapa prosedur, tetapi tegasnya, ini tidak mengganggu integriti siasatan.

“Tuduhan mengatakan bahawa kes ini cuba ditutup, cuba dimanipulasi adalah tuduhan yang sangat berat.

“(Ia) tidak mencerminkan realiti tindakan pihak berkuasa daripada awal hingga kini,” katanya di Dewan Rakyat dalam taklimat isu itu hari ini.

Tambahnya, bahawa siasatan telah menemui unsur buli, yang menghalang kes itu daripada ditutup kerana seriusnya perkara itu.

“Tak boleh ada usaha ataupun percubaan menutup kalau ada elemen buli sekolah tempat yang patut jadi tempat selamat untuk anak-anak kita,” katanya.

Zara ditemui tidak sedarkan diri di dalam longkang di bangunan bawah asrama sekolahnya di Papar pada 16 Julai dan meninggal dunia pada hari berikutnya di Hospital Queen Elizabeth I di Kota Kinabalu.

Kematiannya telah mencetuskan kemarahan di seluruh negara, dengan ramai yang menuntut akauntabiliti bagi insiden itu serta langkah lebih kukuh untuk menangani buli di institusi pendidikan.

Polis sejak itu mengesahkan bahawa pasukan petugas khas dari Bukit Aman telah mengambil alih siasatan kes kematian Zara, manakala Jabatan Peguam Negara telah mengarahkan inkues terhadap kematiannya.

Arahan untuk inkues dibuat selepas pihak berkuasa tempatan gagal melakukan bedah siasat, yang menyebabkan mayatnya digali untuk bedah siasat berikutan kekecohan orang ramai.

Bercakap mengenai ketiadaan bedah siasat dilakukan, Saifuddin berkata ibu Zara telah menafikannya apabila dimaklumkan mengenai keperluan tersebut oleh pegawai penyiasat ketika itu.

“Dan ibu kemudiannya mengisi dan menandatangani surat akuan enggan bedah siasat mayat atas kemahuan sendiri disaksikan oleh kakak ipar kepada ibu itu.

“Dia nak cepatkan pengebumian,” katanya.

Jelas Saifuddin, ini adalah ketidakpatuhan polis yang dirujuknya sebelum ini.

“Itu telah ditegur dan pihak polis akan mengambil tindakan dalaman,” katanya.



Source link