Menteri Pendidikan Tinggi Zambry Abdul Kadir meminta Universiti Malaya (UM) memberi penjelaskan berhubung kegagalan seorang pelajar cemerlang peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) untuk menyambung pengajiannya di institusi pengajian tinggi tersebut.
Merujuk isu yang dibangkitkan Presiden MCA Wee Ka Siong berkenaan Edward Wong semalam, Zambry berkata, UM akan memberikan penjelasan lanjut asas-asas keputusan yang dibuat mereka.
“Apa yang dibangkitkan oleh Datuk Seri Wee Ka Siong berkaitan seorang pelajar yang dikatakan tidak mendapat tempat kursus pilihan dan universiti pilihan walaupun dia mendapat tempat di sebuah universiti yang lain, seperti kita sedia maklum bahawa ini adalah keputusan yang telah dikeluarkan.
“Oleh kerana perkara yang dibangkitkan oleh pelajar ini (Wong) dan Datuk Seri Wee Ka Siong berkaitan pilihan pertama pelajar ini iaitu UM untuk dia mengikuti kursus perakaunan, jadi saya meminta kepada UM untuk menjelaskan kenapa dia tidak diberikan tempat di universiti berkenaan dan apa asas-asasnya akan dijelaskan oleh UM,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Semalam Malaysiakini melaporkan kisah pelajar cemerlang itu berubah selepas dia meluahkan kekecewaannya di Facebook dan hantarannya tular sebelum menarik perhatian Wee.

Tampil dalam sidang media di ibu negara semalam, Wong memberitahu dia berharap dapat melanjutkan pengajian dalam bidang perakaunan di UM, universiti yang sama tempat kakaknya baru sahaja tamat pengajian.
“Realiti sekarang mengecewakan, ada yang meragukan keupayaan saya, ada yang tak percaya, ada yang kata tak boleh tolong. UM sentiasa menjadi matlamat utama saya.
“Sejauh mana kami perlu cemerlang untuk boleh memilih (kursus pengajian diminati),” soalnya sambil memaklumkan akan terus berusaha untuk buat rayuan.
Sementara itu Wee berkata, amat malang seorang pelajar cemerlang STPM dengan purata nilai gred keseluruhan (PNGK) 4.0 dinafikan peluang untuk menyambung pengajian dalam kursus yang diminati.
Oleh itu Wee merayu UM supaya mempertimbangkan permohonan Wong.
Wong ketika ini hanya ditawarkan melanjutkan pengajian dalam bidang pengurusan di Universiti Sains Malaysia (USM).
[Berita penuh menyusul]