Menteri Luar Rusia Sergey Lavrov akan menghadiri mesyuarat menteri-menteri luar anggota Brics di Rio de Janeiro di Brazil pada 28 dan 29 April ini, lapor Agensi Berita Rusia (Tass).
Jurucakap Kementerian Luar Rusia Maria Zakharova sebelum ini menekankan bahawa mesyuarat itu akan menjadi peluang terbaik untuk mengadakan perbincangan mendalam dan hakiki mengenai isu-isu mendesak dalam agenda antarabangsa, kaedah menyelesaikan krisis dan konflik, serta prospek menambak baik sistem tadbir urus global dengan memberi tumpuan kepada peranan negara-negara majoriti global.
Kumpulan Brics berkembang dua kali ganda sejak ditubuhkan pada 2006.
Afrika Selatan menyertai empat negara pengasas — Brazil, Rusia, India dan China — pada 2011.
Sementara Mesir, Ethiopia, Iran, Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu menjadi anggota penuh Brics pada 1 Jan 2024, diikuti Indonesia pada 2025.
Para menteri dijangka membincangkan pelaksanaan perjanjian yang dicapai oleh pemimpin-pemimpin Brics dan merangka langkah seterusnya bagi mengukuhkan perkongsian strategik, sebagai persiapan untuk Sidang Kemuncak Brics ke-17 yang dijadualkan berlangsung di Rio de Janeiro pada 6 dan 7 Julai.
Satu sesi khas mengenai peranan Negara-Negara Selatan Global dalam memperkukuh multilateralisme akan melibatkan menteri luar negara rakan Brics.
Mesyuarat di Rio de Janeiro itu juga mungkin menyentuh cadangan Rusia untuk mewujudkan perdagangan bijirin Brics, serta cadangan untuk menubuhkan platform bersama bagi perdagangan produk pertanian.
Cadangan untuk mewujudkan perdagangan bijirin Brics dikemukakan oleh Presiden Rusia, Vladimir Putin semasa Sidang Kemuncak Brics di Kazan pada Oktober 2024.
Selain itu, isu berkaitan sistem pembayaran turut dijangka dibincangkan.
Para menteri juga akan memberi perhatian kepada usaha menyelesaikan krisis dan konflik yang berlaku di seluruh dunia, termasuk ketidakstabilan di Timur Tengah serta ketegangan di rantau Asia Pasifik. Usaha menyelesaikan isu Ukraine juga dijangka menjadi topik yang dibincangkan.
-Bernama