Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek hari ini memberi jaminan bahawa sekolah berasrama penuh di seluruh negara masih berada dalam keadaan selamat.
Katanya Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sentiasa mempertingkat aspek keselamatan dan komited memastikan ekosistem pendidikan yang selamat, kondusif serta memberi impak positif kepada pembangunan pelajar.
“Saya ingin beri jaminan kepada ibu bapa bahawa sekolah-sekolah ini masih lagi selamat dan kita sentiasa mempertingkatkan soal keselamatan, serta melakukan penambahbaikan dalam semua aspek khsususnya dalam memastikan sekolah ini terus menjadi sekolah selamat, seterusnya memberikan impak kepada pendidikan anak-anak kita.
“Jadi jangan risau, KPM sentiasa tambah baik apa sahaja yang dilihat sebagai langkah-langkah untuk terus memperkukuh ekosistem sekolah berasrama kita,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan cek cura sekolah autistik kepada 12 sekolah di Sekolah Sinar Harapan di Bukit Mertajam hari ini.
Fadhlina mengulas kenyataan Ahli Parlimen Kinabatangan Bung Moktar Radin di Dewan Rakyat pada Selasa lalu yang mendakwa ramai ibu bapa di Sabah kini takut atau fobia untuk menghantar anak-anak mereka ke sekolah berasrama.
Bung Moktar berkata ia susulan kes buli yang dikatakan berleluasa dalam kalangan pelajar di asrama dan meminta KPM segera mencari pendekatan baru untuk menangani kes buli melibatkan pelajar di asrama.
Fadhlina memaklumkan 72 sekolah berasrama penuh (SBP) di seluruh negara masih menjadi pilihan utama dalam kalangan ibu bapa untuk menghantar anak mereka mendapatkan pendidikan.
Dia dalam pada itu menegaskan bahawa isu buli tidak boleh hanya diserahkan kepada satu pihak sahaja untuk ditangani, sebaliknya memerlukan kerjasama kolektif daripada semua pihak.
“Di peringkat KPM kami mengambil langkah pelbagai untuk mengatasi isu buli ini termasuk memperkukuh prosedur operasi standard (SOP) di peringkat sekolah, memastikan keberadaan guru di sekolah pada setiap masa ketika waktu persekolahan bagi memastikan pemantauan itu dapat dipertingkatkan,” katanya.
Selain itu, Fadhlina menjelaskan, KPM mengambil tindakan tegas terhadap pelajar yang terbukti melakukan salah laku buli, termasuk gantung persekolahan dan sepanjang tempoh tersebut mereka akan mengikuti intervensi khas “Bangkit Bermaruah”, iaitu program khidmat masyarakat dikendalikan oleh pejabat pendidikan daerah (PPD).
Ahli Parlimen Nibong Tebal itu berkata KPM juga sedang memperkukuh peranan kaunselor sekolah menerusi latihan dan pendedahan untuk membantu mengenal pasti tanda-tanda awal pelajar yang dibuli atau berisiko terlibat dalam kesalahan disiplin lain agar dapat bertindak lebih awal menangani isu buli secara menyeluruh.
– Bernama