PARLIMEN | Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan mengagihkan sebanyak 300 biji buah avokado keluaran Tawau, Sabah, kepada wakil-wakil rakyat dan pengamal media di parlimen, hari ini.
Ahli Majlis Perbandaran Tawau, Philip Yap Wui Lip, berkata agihan itu adalah sebagai mempromosikan produk tempatan yang dibuat melalui syarikat Top Borneo Sdn Bhd yang bertanggungjawab mengusahakan ladang avokado jenama Borneocado.
Menurutnya, Borneocado membekal avokado quion hill avocado varieti (avokado QAV1) yang dihasilan melalui kajian selama 10 tahun di Stesen Penyelidikan Pertanian Bukit Quion.
Program itu dijalankan dengan seliaan Jabatan Pertanian Sabah.
“Varieti ini bukan sahaja berhasil tinggi, malah turut memiliki ciri-ciri premium seperti isi yang tebal, biji kecil, tekstur berkrim dan rasa yang manis.
“Sebiji buah avokado masak boleh mencapai berat 500 gram, dan sebatang pokok matang mampu menghasilkan hingga 200 biji setiap musim,” katanya dalam kenyataan media susulan program itu.
Hadir sama Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohammad Sabu, dan Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Chan Foong Hin, serta wakil syarikat berkenaan.

Bulan lalu, buah avokado menjadi perhatian umum selepas kerajaan mengumumkan perluasan skop cukai jualan dan perkhidmatan (SST) terhadap buah-buahan import.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata, langkah itu bertujuan mengenakan cukai kepada golongan kaya.
Dia memberi gambaran keputusan itu hanya akan memberi kesan kepada mereka yang memakan buah-buahan mahal seperti avokado.
Pengumuman itu kemudiannya disambut dengan kritikan pelbagai pihak yang antara lain mengingatkan kerajaan bahawa buah-buahan import seperti epal dan orang juga merupakan makanan golongan B40.
Susulan itu Anwar kemudiannya, mengumumkan bahawa buah epal dan oren akan dikecualikan daripada SST.
Peluasan SST, yang termasuk cukai 5 peratus ke atas buah-buahan import, berkuat kuasa pada 1 Julai lalu.

Semua buah-buahan tempatan dikecualikan kerana ia tidak memenuhi kriteria barangan yang dikenakan cukai di bawah Akta Cukai Jualan.
Yap berkata, avokado QAV1 boleh dituai dalam tempoh tiga hingga empat tahun selepas ditanam dan pokoknya sesuai dengan iklim tropika serta mudah dijaga.
“Anak benihnya kini dijual pada harga antara RM45 hingga RM65 sepokok, manakala buah segar boleh mencapai harga RM18 hingga RM25 sekilogram,” katanya.
Tambah Yap lagi, syarikat tempatan seperti Borneocado kini bersedia untuk mempertingkatkan hasil dan produktiviti avokado bagi memenuhi permintaan domestik dan antarabangsa.