PAS sekali lagi menyatakan komitmennya untuk mempertahankan hak dan kepentingan rakyat Sabah jika diberikan mandat dalam Pilihan Raya Negeri yang akan datang.
Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan berkata parti itu konsisten membangkitkan isu-isu berkaitan Sabah, termasuk pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), pembangunan luar bandar dan pembasmian kemiskinan.
“PAS pernah berada dalam kerajaan persekutuan dan ketika itu, saya sendiri selaku Menteri Undang-Undang memainkan peranan penting dalam rundingan berkaitan MA63 bersama Maximus Ongkili.
“Kita telah capai banyak kemajuan hasil kerjasama erat antara kerajaan persekutuan dan negeri. Meskipun kini kita bukan lagi kerajaan, namun perjuangan ini tidak akan terhenti,” katanya.
Takiyuddin yang juga Timbalan Setiausaha Agung PN berkata demikian semasa program Jelajah Rakyat di Tawau, malam tadi.
Dia juga menekankan yang PAS berpegang kepada prinsip Islam menawarkan penyelesaian menyeluruh terhadap pelbagai cabaran, termasuk urus tadbir, keadilan sosial dan keharmonian masyarakat.
Katanya, PAS menghormati komposisi masyarakat Sabah yang berbilang kaum dan agama, dan akan mendekati mereka melalui pendekatan yang harmoni dan menyeluruh.
“Islam menjamin keadilan untuk semua tanpa mengira kaum dan agama. Prinsip ini yang menjadi teras perjuangan PAS.
“Kita percaya rakyat Sabah dapat menerima pendekatan ini yang bersifat inklusif dan menyatukan,” katanya lagi.