Malaysia Oversight

Mengenang genosid di Bosnia dari kaca mata rakyat Malaysia selepas 30 tahun

By MkiniBM in July 27, 2025 – Reading time 4 minute
Mengenang genosid di Bosnia dari kaca mata rakyat Malaysia selepas 30 tahun


Tanggal 11 Julai lalu menandakan genap 30 tahun sejak berlakunya pembunuhan beramai-ramai di Srebrenica, yang meragut nyawa lebih 8,000 umat Bosnia dalam tempoh hanya dua minggu.

Ia merupakan salah satu episod paling berdarah dalam Perang Bosnia yang berlangsung dari tahun 1992 hingga 1995 dan mengorbankan lebih 100,000 nyawa, serta menyebabkan lebih dua juta orang kehilangan tempat tinggal.

Behzo dan keluarganya merupakan antara yang menjadi pelarian akibat perang itu.

Dia yang kini berusia 60 tahun, tiba di Malaysia pada tahun 1993 sebagai pelarian bersama keluarganya seramai enam orang. Behzo menetap di negara ini selama lebih tiga dekad, dan semua ahli keluarganya kini menjadi pemastautin tetap.

Behzo, yang enggan mendedahkan identiti sepenuhnya, mengimbau kembali ketika dia berusia 27 tahun apabila ditangkap oleh militia Serb Bosnia dan dihantar ke tiga kem tahanan yang berbeza.

Dia menceritakan bahawa kampungnya di Kozarac merupakan antara yang terawal mengalami pembersihan etnik dengan pembunuhan serta pemindahan beramai-ramai telah pun bermula beberapa tahun sebelum genosid di Srebrenica berlaku.

Lebih 6,000 lelaki Bosnia dikebumikan di tapak peringatan berhampiran Srebrenica.

“Umat Bosnia dibunuh beramai-ramai di merata tempat, bukan hanya di Srebrenica. Di bandar Prijedor, contohnya, lebih 2,000 orang terbunuh, termasuk bayi. Hingga ke hari ini mereka masih menggali kubur besar di sana,” katanya.

0ffeee82b2ef666d6f38e77facdd7d9d

Pada tahun 2025, usaha masih diteruskan di Bosnia dan Herzegovina untuk mencari kubur besar di seluruh negara.

Sepanjang tahun-tahun ini, lebih 94 kubur besar telah digali, di mana pasukan Serb sengaja memindahkan mayat-mayat mangsa untuk menyembunyikan bukti pembunuhan beramai-ramai. Kini, hampir 2,000 mangsa pembunuhan beramai-ramai masih belum ditemui dan dikenal pasti.

Pada tahun 1992, Bosnia merupakan antara beberapa negeri yang mengundi untuk berpisah daripada Republik Sosialis Persekutuan Yugoslavia, yang akhirnya berpecah kepada tujuh negara merdeka sepanjang dekad berikutnya.

Peperangan Yugoslavia pada tahun 1990-an menjadi konflik bersenjata paling berdarah di Eropah sejak Perang Dunia Kedua.

Malaysia mula menghantar pasukan tentera pada tahun 1993, selepas Perdana Menteri ketika itu, Dr Mahathir Mohamad lantang menyuarakan nasib umat Islam Bosnia di dalam dan luar negara.

Veteran tentera Malaysia yang telah bersara, brigedier jeneral Tairobi Abdul Razak, merupakan antara pegawai tentera terawal yang dihantar ke Bosnia.

Pada tahun 1993, ramai anggota tentera Malaysia hampir tidak mengetahui apa-apa tentang perang yang sedang berlaku, dan pada mulanya tidak menyangka mereka akan dikerahkan.

Menceritakan lebih lanjut, Tairobi (gambar atas) berkata dia hanya diberi notis seminggu sebelum dihantar bertugas. Dia juga menjelaskan bahawa penglibatan Malaysia di Bosnia sangat berbeza berbanding misi ketenteraan terdahulu.

Malaysia kebiasaannya bersikap berkecuali dalam konflik yang berlaku di luar negara, tetapi dalam kes Bosnia, negara ini menghantar ratusan anggota sepanjang beberapa tahun, katanya.

Kebanyakan mereka bukan dihantar untuk berperang, dan biasanya bertugas selama setahun sebelum diganti dengan pegawai baru.

Perang yang mengerikan

Ramai anggota Angkatan Tentera Malaysia berkhidmat di bawah batalion Malaysia (Malbatt), namun Tairobi dihantar bertugas secara langsung dengan Pasukan Perlindungan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unprofor), sebagai ketua Pemerhati Tentera PBB, dari akhir tahun 1993 hingga awal 1995.

“Apabila saya mula-mula tiba di Sarajevo, van PBB yang datang menjemput saya terus ditembak oleh tentera Serb, sebelum kami sempat keluar dari lapangan terbang. Ia adalah kali pertama saya mengalami keganasan seperti itu. Ia mengejutkan saya pada awalnya, tetapi lama-kelamaan saya terbiasa.

“Sementara pegawai Malbatt ditempatkan di kediaman khas mereka, saya pula terpaksa tinggal bersama penduduk tempatan kerana saya bekerja secara langsung dengan PBB. Saya masih ingat bangunan apartmen saya juga sering ditembak.

“Selalu juga saya perlu melalui sekatan jalan yang dikawal oleh tentera Serb, yang cuba menyekat dan mengawal pergerakan kami. Pada musim sejuk, bekalan elektrik terputus, dan makanan sangat terhad,”katanya.

36ee3e6af97b122efc007fc100ad8a72
Banyak bangunan di Sarajevo hingga kini masih dipenuhi kesan peluru akibat perang.

“Penduduk tempatan mengalami penderitaan yang jauh lebih teruk semasa pengepungan Sarajevo, yang berlangsung selama beberapa tahun, dan menyebabkan kebuluran besar-besaran,” tambahnya

Tairobi berkata sebagai pemerhati tentera, dia tidak turun berperang, tetapi sering terlibat dalam rundingan, usaha pendamaian dan pertukaran tawanan antara pihak yang bertelagah.

“Dalam usaha pendamaian ini, saya sendiri pernah menyaksikan kesan serangan yang sangat dahsyat, di mana mayat bergelimpangan di mana-mana.

“Bayangkan kekejaman tentera Serb – jika mereka sanggup menyerang pegawai PBB secara berterusan, bayangkan pula keganasan yang mereka lakukan terhadap penduduk Bosnia?” soalnya.

Apabila tentera Serb melakukan pembersihan etnik di kampung-kampung, lelaki muda seperti Behzo menjadi sasaran dan dihantar ke kem tahanan, manakala wanita dan kanak-kanak dipaksa keluar dari rumah serta dipisahkan daripada keluarga mereka. Kejadian rogol beramai-ramai, penyeksaan dan kebuluran masih berleluasa, walaupun di luar kem tahanan.

“Kami diarahkan untuk meletakkan bendera putih di tingkap rumah, bagi menandakan bahawa ada orang Islam Bosnia di dalamnya. Kami dipaksa untuk menunjukkan diri dan tunggu sahaja tentera Serb datang menculik. Tidak boleh berbohong atau bersembunyi, kerana mereka pasti akan tahu – dan kalau tertangkap, mereka akan cuba bunuh juga,” kata Behzo.

“Saya ditahan selama tepat 210 hari di dalam kem tahanan. Sebenarnya satu keajaiban saya masih hidup. Saya memang antara yang bernasib baik. Setiap pagi di kem, kami perlu melapor kepada tentera Serb, hanya menunggu masa untuk dibunuh. Kami dikurung di tempat di mana kami diseksa dan dibiarkan kebuluran setiap hari.”

[Baca berita penuh]



Source link