ULASAN | Apabila Amerika Syarikat (AS) menyertai Perang Dunia Pertama pada 1917, Presiden Woodrow Wilson telah menubuhkan Committee on Public Information (CPI) melalui Perintah Eksekutif Presiden (Executive Order) 2594. Ia merupakan sebuah agensi khas di bawah kuasa eksekutif Presiden AS.
Institusi ini juga dikenali sebagai Creel Committee dipimpin oleh seorang wartawan progresif bernama George Creel yang berjaya meyakinkan Wilson bahawa propaganda bukan sekadar penyebaran maklumat semata-mata tetapi “propagation of faith” iaitu penyebaran kepercayaan terhadap matlamat suci sesebuah negara.
CPI juga dikenali sebagai agensi yang diberi mandat untuk “menyampaikan maklumat dan membina semangat patriotik” dalam kalangan rakyat AS. Secara tersirat ia berperanan untuk menyelaraskan propaganda domestik dan antarabangsa semasa Perang Dunia Pertama.
Ia mewakili permulaan kepada aktiviti propaganda moden iaitu satu sistem komunikasi yang menyeluruh dan tersusun melibatkan setiap warga, media, sekolah, agama dan budaya.
Namun secara realitinya, CPI melakukan lebih daripada itu. Terdapat usaha sistematik yang meminggirkan suara-suara alternatif, khususnya dari kalangan etnik minoriti dan kumpulan sosialis yang menentang agenda perang.
CPI kemudiannya mula berfungsi sebagai “mesin komunikasi propaganda” walaupun istilah itu cuba dielakkan kerana berbaur manipulasi namun strateginya cukup licik mencakupi kawalan saluran media, tekanan terhadap media alternatif dan penggunaan “Four Minute Men” iaitu sukarelawan rakyat yang menyampaikan ucapan pro-perang dalam bahasa sehari-hari di pawagam dan tempat awam.
Keberkesanan CPI bergantung kepada beberapa faktor asas yang saling berkait. Pertama ialah kawalan menyeluruh terhadap media arus perdana. CPI menubuhkan News Division yang mengedarkan maklumat rasmi harian kepada seluruh akhbar utama melalui penerbitan Official Bulletin. Ini memastikan setiap berita berkaitan perang telah ditapis, disunting dan dibingkaikan dengan naratif patriotik sebelum sampai ke khalayak.

Kedua, CPI mencipta kerangka visual dan simbolik yang kuat. Division of Pictorial Publicity telah mengupah artis terkenal seperti James Montgomery Flagg dan Louis D. Fancher yang menghasilkan lebih 1,400 poster patriotik.
Poster seperti “I Want You for U.S. Army” menjadi simbol visual yang menggugah emosi dan kekal relevan hingga ke hari ini. John McCormack menyanyi untuk kaum Irish-Amerika bagi melembutkan pendirian anti-Amerika dalam Perang Dunia Pertama. Ini menunjukkan betapa budaya juga digunakan sebagai instrumen propaganda.
Ketiga, CPI menggunakan rakyat sendiri sebagai ejen propaganda. Dengan melatih lebih 75,000 orang “Four Minute Men”, CPI menjadikan rakyat biasa sebagai penyampai naratif rasmi di pawagam, gereja, pasar dan kilang. Dalam tempoh 18 bulan, lebih 7.5 juta ucapan telah disampaikan kepada lebih 300 juta pendengar Amerika. Ini merupakan pencapaian luar biasa dalam negara yang hanya mempunyai 103 juta penduduk ketika itu.
Manfaatkan semua saluran komunikasi
Naratif mereka menekankan betapa pentingnya pembelian bon perang, menjadi sukarelawan tentera, penjagaan makanan dan menyokong Palang Merah. Teknik ini bukan sekadar menyebar maklumat malah memanfaatkan pendekatan propaganda untuk meningkatkan kesetiaan nasionalis dengan menggunakan emosi, kesetiaan dan rasa kewajipan.
Keempat, CPI menggabungkan disiplin komunikasi dengan psikologi sosial. Mesej yang dibina tidak sekadar memberi maklumat tetapi menyentuh emosi dengan mewujudkan rasa takut terhadap musuh, cinta terhadap negara, benci terhadap pengkhianat. Ini menjadikan propaganda lebih berkesan kerana ia bergerak bukan melalui logik tetapi perasaan.
Kelima, CPI mewujudkan kerjasama strategik dengan institusi masyarakat. Ia tidak bergerak secara tunggal tetapi bergantung kepada jaringan luas seperti sekolah, kesatuan sekerja, gereja dan pertubuhan etnik.
Malah CPI turut menghasilkan bahan-bahan dalam pelbagai bahasa bagi menjangkau komuniti imigran yang ketika itu membentuk sebahagian besar populasi Amerika. CPI beroperasi dengan teliti, memanfaatkan semua saluran komunikasi bermula daripada pejabat pos, akhbar, filem, sekolah hinggalah kepada radio dan filem teatrikal.
Namun keberkesanan CPI tidak datang tanpa harga. Smithsonian Magazine menyifatkannya sebagai permulaan kepada era baharu “penindasan berselindung”, apabila kerajaan menggunakan tekanan ekonomi dan undang-undang seperti Akta Espionage Act 1917 dan Sedition Act 1918 memberikan kuasa kepada kerajaan untuk menghukum sesiapa sahaja yang mengkritik dasar perang.
Jika sabit kesalahan, ia boleh dikenakan hukuman hingga 20 tahun penjara. Ini dianggap menghalang kebebasan bersuara. Ramai wartawan, penulis dan aktivis ditahan kerana melawan kerajaan. Sebagai respon tindak balas kerajaan, sebuah organisasi ditubuhkan seperti American Civil Liberties Union (ACLU).

CPI terbubar
Creel menolak label ‘propaganda’ tetapi realitinya CPI tidak sekadar menyebar maklumat dan membina semangat patriotisme sebaliknya telah memanipulasi persepsi dan mencipta musuh bersama.
Menjelang akhir 1918, naratif CPI bertukar daripada seruan patriotik kepada kempen kebencian terbuka, menggambarkan Jerman sebagai ancaman peradaban terutama naratif “hate-driven” seperti poster “Stop the Hun!” menggambarkan Jerman secara kotor dan ganas dan bukan semata-mata sebagai kerajaan yang bertentangan ideologi.
Beberapa laporan palsu seperti kapal selam Jerman yang kononnya ditenggelamkan, kejayaan pesawat tempur yang masih dalam ujian telah menjadi titik tolak kritikan awam. Akhbar seperti New York Times melabelkan CPI sebagai “Committee on Public Misinformation” manakala Senator Senator Boies Penrose mencabar CPI menandakan kritikan awam terhadap manipulasi fakta. Kritikan paling tajam datang daripada Walter Lippmann, penasihat Wilson sendiri yang memperingatkan bahawa propaganda berlebihan adalah racun kepada demokrasi.
Selepas perang, Wilson sendiri kehilangan populariti dan kekuatannya di Kongres. Ramai rakyat Amerika mengalami sindrom ‘propaganda fatigue’. Mereka merasakan emosi mereka dieksploitasi untuk menyokong perang yang sepatutnya dielakkan. CPI yang selama ini kelihatan sebagai pelindung moral nasional mula dilihat sebagai ‘pembohong’ profesional yang mencetak realiti palsu atas nama patriotisme.
Selepas Perang Dunia Pertama tamat pada 11 November 1918, aktiviti CPI dirombak secara beransur dengan operasi berakhir pada 30 Jun 1919 sebelum Wilson membubarkannya secara rasmi pada 21 Ogos 1919 melalui Executive Order 3154. Keputusan ini telah mewujudkan konflik positif dalam sebuah perjalanan demokrasi.
Betapa propaganda yang berjaya telah menguburkan organisasi pelaksananya akibat beban tanggungan (dibaca: ketakutan negara demokrasi terhadap kejayaan propaganda). Dari satu sudut ia berjaya membingkai naratif patriotisme dan berjaya, dari satu sudut yang lain isu kebebasan akhbar dan hak bersuara semakin menipis.
Model CPI tular ke negara lain
Kejayaan CPI menarik perhatian dunia. Beberapa negara besar menjadikan model ini sebagai asas kepada sistem propaganda negara mereka dengan pelbagai penyesuaian menurut konteks budaya dan politik masing-masing.
Jerman Nazi adalah contoh paling ekstrem. Di bawah Joseph Goebbels, Kementerian Propaganda Reich (Reich Ministry of Public Enlightenment and Propaganda) dibentuk pada 1933 dengan struktur dan pendekatan yang sangat menyerupai CPI. Seperti CPI, Nazi melibatkan rakyat biasa, filem, seni dan ucapan massa. Bezanya, Goebbels menjadikan propaganda sebagai jentera ideologi totalitarian yang digerakkan untuk mewajarkan penindasan, genosid dan perang agresif.
Kesatuan Soviet pula memperkenalkan Model Agitprop selepas Revolusi Oktober 1917 dengan menggabungkan propaganda dan agitasi politik. Ia menjadikan seni teater, puisi dan pendidikan sebagai alat untuk menyebarkan idea revolusioner dan membentuk kesetiaan kepada Parti Komunis. Seperti CPI, Agitprop menggunakan rakyat, guru, pelajar dan pekerja sebagai duta kepada mesej negara.
China melalui Central Propaganda Department menginstitusikan propaganda sebagai bahagian tetap dalam struktur negara. Ia mengawal media, pendidikan, filem dan budaya popular untuk menyokong dasar Parti Komunis. Naratif nasional sentiasa dijaja melalui pelbagai saluran dengan masyarakat dididik sejak kecil untuk menerima satu versi kebenaran yang sah.
Vietnam, Korea Utara, Cuba dan Iran turut membentuk versi tersendiri. Masing-masing menggunakan kombinasi retorik nasionalisme, agama dan ideologi untuk membina persepsi terhadap musuh luar serta mengukuhkan kesatuan dalam negara. Di negara-negara ini, propaganda bukan sekadar alat komunikasi tetapi asas kepada legitimasi pemerintahan.

Bayangan CPI di Malaysia
Di Malaysia, model CPI wujud dalam bentuk yang lebih tersirat tetapi tetap berakar dari prinsip yang sama.
Organisasi ini bermula sebagai Badan Hal Ehwal Khas (BHEK), sebuah unit di bawah Kementerian Penerangan yang ditubuhkan selepas pilihan raya umum Tanah Melayu 1959 untuk mengekalkan dan melindungi kestabilan politik, agama dan kerajaan. Pada 1960, BHEK ditingkatkan dan diganti namanya menjadi Cawangan Hal Ehwal Khas (CHEK) di bawah bidang kuasa Jabatan Perkhidmatan Penerangan.
Mesyuarat Kabinet pada Mac 2000 meluluskan pembentukan Jabatan Hal Ehwal Khas (JHEK) sebagai naik taraf daripada CHEK. Pada 2004, akronim JHEK ditukar menjadi JASA. Pegawai JASA bergerak dari rumah ke rumah, kampung ke kampung, menyampaikan naratif pro-kerajaan dan menangkis persepsi negatif. JASA adalah “mata dan telinga kerajaan” yang beroperasi dekat dengan denyut masyarakat, sebuah fungsi yang jarang dapat diisi oleh agensi lain.
Selepas JASA dibubarkan pada 2018, peranannya disambung secara tidak langsung oleh Jabatan Komunikasi Komuniti (JKOM). Kesinambungan melalui JKOM menandakan transformasi strategi dari kerja lapangan kepada dunia siber. Media sosial, pempengaruh dan naratif ringkas mudah dihadam menjadi instrumen utama. Pendekatan ini lebih sesuai dengan ekosistem komunikasi semasa di mana majoriti rakyat menilai kerajaan bukan lagi melalui ceramah desa tetapi melalui TikTok, Facebook, X, dan Instagram.
Walaupun namanya berubah mengikut zaman dan konteks politik, intinya kekal sebagai mesin naratif negara.
Isu utama yang sentiasa menghantui organisasi ini ialah legitimasi politik dan persepsi. Rakyat mudah melihatnya sebagai “alat propaganda kerajaan” berbanding “platform komunikasi dasar nasional”. Cabaran terbesar ialah bagaimana membina kepercayaan bahawa mereka bukan sekadar mempertahankan kerajaan tetapi mendidik rakyat memahami dasar dengan lebih objektif dan dua hala.
Rakyat kini bukan sekadar penerima mesej tetapi pencipta naratif mereka sendiri. Pengaruh media sosial, aplikasi perbualan, dan berita alternatif menjadikan komunikasi kerajaan tidak lagi dominan. Kuasa untuk membentuk persepsi kini tersebar luas dan menuntut kerajaan untuk membina keyakinan bukan melalui penapisan, tetapi keterbukaan.
Literasi propaganda
Creel Committee mungkin telah dibubarkan lebih seabad lalu, tetapi warisannya masih hidup. Ia membentuk asas kepada komunikasi politik moden, hubungan awam strategik dan komunikasi krisis. Namun ia juga membawa amaran apabila komunikasi terlalu dikawal, emosi digunakan untuk menghapuskan rasional dan rakyat tidak diberi ruang untuk membantah, demokrasi akan menjadi lemah.
George Creel menyatakan dalam memoirnya, How We Advertised America, bahawa usaha CPI “Pada bila-bila masa pun, ia tidak pernah mencari atau menggunakan kuasa di bawah undang-undang perang yang mengehadkan kebebasan bersuara dan akhbar”.
Namun sejarah menunjukkan sebaliknya bahawa kebenaran boleh dimanipulasi jika ia hanya datang dari satu suara. Di Malaysia dan negara lain, pelajaran daripada CPI adalah jelas iaitu propaganda menjadi alat pihak berkuasa tetapi tanpa semak dan imbang, ia boleh bertukar menjadi senjata penindasan.
BUDIMAN MOHD ZOHDI ialah penasihat SLR Institute. Dia bergiat aktif dalam penyelidikan propaganda dan penjenamaan politik. Budiman juga bekas ahli parlimen Sungai Besar.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.