Malaysia Oversight

Mengapa tiada tindakan 5 ADUN Bersatu?

By Utusan in December 25, 2025 – Reading time 2 minute
Majoriti ADUN PN Perlis didakwa tarik sokongan terhadap MB, bubar DUN atau letak jawatan ?


KANGAR: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) digesa mengambil tindakan segera terhadap lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) parti itu di Perlis yang didakwa terlibat menandatangani surat akuan bersumpah (SD) bagi menarik sokongan terhadap Menteri Besar.

Pengarah Jabatan Kajian dan Polisi Lajnah Penerangan Pusat, Dr. Nurul Mohamed Yusoff berkata, kemelut politik di Perlis bermula apabila dilaporkan lapan ADUN tidak lagi menyokong kepimpinan Menteri Besar, membabitkan lima ADUN Bersatu dan tiga ADUN .

Menurut beliau, telah mengambil tindakan pantas dengan memanggil tiga ADUN parti itu yang terlibat bagi mendapatkan pengesahan berhubung dakwaan menandatangani SD berkenaan.

“Ketiga-tiga ADUN tersebut telah mengakui menandatangani surat akuan bersumpah itu. Susulan pengakuan tersebut, Pas mengambil tindakan tatatertib dengan menggugurkan keahlian mereka serta-merta mengikut Fasal 15A Perlembagaan Pas,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau menjelaskan, apabila keahlian parti digugurkan, kerusi ADUN berkenaan turut tergugur berdasarkan Undang-Undang Tubuh Negeri Perlis Perkara 50A(1)(a)(ii).

Sehubungan itu, Nurul mempersoalkan tindakan Bersatu yang sehingga kini didakwa masih belum mengambil langkah jelas terhadap lima ADUN parti tersebut yang terlibat dalam isu sama.

“Bersatu sepatutnya memanggil lima ADUN berkenaan untuk mendapatkan pengakuan sama ada mereka benar-benar menandatangani SD tersebut.

“Jika tidak benar, Bersatu perlu mengeluarkan kenyataan segera bahawa semua ADUNnya kekal menyokong kepimpinan Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli dan mempertahankan Negeri Perlis,” katanya.

Namun, beliau menegaskan, sekiranya dakwaan itu benar, Bersatu juga perlu bertindak tegas sebagaimana yang telah dilakukan oleh Pas terhadap wakil rakyatnya.

“Jika sebelum ini enam Ahli Parlimen dan seorang ADUN Bersatu boleh digugurkan, malah Bersatu pernah menghantar surat kepada Speaker Dewan Undangan Negeri bagi mengosongkan kerusi ADUN, mengapa tindakan sama tidak boleh diambil dalam kes Perlis,” katanya.

Nurul menyifatkan tindakan lima ADUN Bersatu itu sebagai cubaan jelas menjatuhkan Perikatan Nasional di Perlis serta satu bentuk sabotaj terhadap Menteri Besar daripada Pas

“Sekiranya Bersatu gagal bertindak, ia akan memberikan isyarat yang salah dan dilihat merosakkan perpaduan dalam Perikatan Nasional. Kegagalan mendisiplinkan ahli dan wakil rakyat juga akan mencerminkan kelemahan kepimpinan Bersatu,” katanya.-UTUSAN





Source link