ULASAN SUKAN | Pemain badminton China memberi isyarat awal betapa mereka memiliki segala ramuan untuk mendominasi pentas Kejohanan Dunia di Paris, bulan depan.
Hakikat itu tidak dapat dinafikan susulan kejayaan mereka memenangi empat gelaran (perseorangan lelaki, wanita dan beregu wanita, beregu campuran) dalam edisi Terbuka China yang berakhir di Changzhou, Ahad lalu.
Senario seperti itu sepatutnya menerbitkan rasa gerun kepada barisan bintang dunia lain, khususnya pemain negara kita yang sudah tentu menggalas beban yang berat dalam kejohanan seterusnya.
Pemain China cuma gagal layak ke final beregu lelaki.
Penentuan itu membabitkan jaguh negara, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik yang tewas mengejut kepada pasangan ‘split’ yang juga bukan pilihan dari Indonesia, Fajar Alfian-Muhammad Shohibul Fikri.
Kejohanan Dunia akan bermula pada 25 hingga 31 Ogos ini. Adakah pemain negara kita sudah bersedia menggalas cabaran selepas mempelajari ‘kekurangan pada diri’ dari Changzhou?
Kecuali Aaron-Wooi Yik dan jaguh beregu wanita, Pearly Tan-M Thinaah yang masing-masing konsisten mara ke final dan separuh akhir di Terbuka China, wakil kita yang lain perlu menggandakan usaha semasa menyusun langkah.
Kesal terlepas peluang
Pearly-Thinaah terkandas di separuh akhir tetapi tetap ditakrif pilihan terbaik untuk naik ke podium di Paris berpandukan prestasi dan aksi konsisten dipamerkan mereka sepanjang tiga bulan lalu.
Keyakinan itu turut disuarakan Pengarah Kejurulatihan Beregu Kebangsaan, Rexy Mainaky, yang percaya status baru selaku pasangan nombor dua dunia itu akan menguatkan impian mereka memburu pingat.
“Memecah masuk ke ranking nombor dua dunia bukan mudah. Mereka perlu bertarung dengan pasangan ternama dunia dari China, Korea Selatan dan Jepun.
“Ia amat memerlukan usaha berganda serta komitmen tinggi,” katanya seperti dipetik BH.
Apapun, peluang mereka muncul juara boleh disifatkan 50-50 kerana perlu menghadapi dua pasangan utama China, Liu Sheng Shu-Tan Ning (yang kini berada di ranking pertama dunia) dan Jia Yi Fan-Zhang Shu Xian (nombor tujuh dunia).

Cuma agak melegakan kita, mengikut undian beregu negara tidak akan bertemu Sheng Shu-Tan Ning sehinggalah di perlawanan akhir.
Namun, Pearly-Thinaah dijangka bertembung dengan Yi Fan-Shu Xian lebih awal sebelum di separuh akhir. Ini adalah pasangan yang menyekat hajat mereka ke final Terbuka China tempoh hari.
Aaron-Wooi Yik pula kesal terlepas peluang mendapatkan gelaran di Changzhou dan meraih hadiah wang kemenangan RM624,757.
Impian besar mereka lenyap apabila menanggung kekalahan 21-15, 21-14 kepada Alfian-Shohibul Fikri yang pulang ceria membawa angka besar itu.
Di sebalik rasa penuh hampa itu, pasangan nombor dua dunia yang masih gagal memenangi Siri Super 1000 dalam percubaan kali keenam itu difahamkan mahu bangkit di Kejohanan Dunia.
Misi kali ini bukan mustahil kerana mereka pernah menjuarai kejohanan itu semasa edisi 2022.
“Kami mahu memusatkan tumpuan kepada persiapan bagi Kejohanan Dunia. Emas di Paris adalah sasaran mana-mana pasangan,” kata Aaron seperti dipetik di portal sukan NST Online.
“Kami akan pulang, pulih dan kembali ke gelanggang untuk membuat persiapan terbaik bagi kejohanan besar itu.”
Patutnya boleh ke separuh akhir
Paling mengecewakan ialah pasangan beregu campuran kita, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei dan pasangan suami isteri, Goh Soon Huat-Shevon Jemie Lai yang gagal mara walaupun ke separuh akhir.
Pencapaian hambar selepas Terbuka Jepun dan China menceritakan mereka berdepan ranjau di Kejohanan Dunia. Terus terang – berpandukan kemampuan ketika ini, hajat mahu naik ke podium nampaknya menjadi misi sangat sukar.
Hal itu kerana China memiliki dua pasangan yang makin garang – Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping dan Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin yang layak ke final di Terbuka China. Gandingan itu dilihat sebagai prospek besar memburu kejuaraan.
Bicara panas juga terarah kepada pasangan profesional negara, Goh Sze Fei dan Nur Izzuddin Rumsani.
Pada saat ini semacam ada sesuatu yang kurang pada diri bekas pasangan nombor satu dunia itu. Apakah mereka hilang keyakinan diri atau ada kekurangan dari segi latihan berkualiti di kem bertentangan?

Rasa-rasanya tidak. Masakan mereka mampu layak ke final Terbuka Jepun (15-20 Julai) jika itulah puncanya seperti disebut di atas.
Tapi, kenapa pula tiba-tiba pasangan ‘FeiDin’ itu terkandas mengejut di pusingan pertama Terbuka China? Mereka ada potensi sekurangnya-kurangnya layak ke separuh akhir.
Adakah mereka akan pulih dan bangkit segera mencari formula kemenangan untuk menidakkan pengkritik di Kejohanan Dunia nanti?
Dalam konteks ini kita juga boleh merenung sedikit pandangan diluahkan oleh bekas pemain dan jurulatih negara, James Selvaraj, baru-baru ini.
Tidak berniat mahu memperkecilkan Teo Kok Siang yang kini menjadi jurulatih mereka, James beranggapan, demi kebaikan pasangan terbabit boleh menjalani sesi sparring bersama beregu lelaki dari Persatuan Badminton Malaysia (BAM) untuk kembali meningkatkan prestasi semasa.
Tambah James, di sana juga ada dua pengendali tersohor dunia, Herry Iman Pierngadi dan Rexy Mainaky, yang dilabel sebagai pakar beregu dan memahami corak permainan serta mengerti apa yang perlu dilakukan.

Katanya, sesi sparring di BAM memadai walaupun sebulan sekali.
“Tapi kalau tak masuk sekalipun, mereka tetap perlukan rakan sparring yang berkualiti seperti Aaron Chia-Soh Wooi Yik atau Man Wei Chong-Tee Kai Wun.
“Itu akan beri situasi menang-menang untuk kedua-dua pihak,” kata James kepada portal sukan BH.
Apakah BAM akan menerima cadangan seperti itu selepas ‘FeiDin’ angkat kaki untuk bergerak sebagai pemain profesional pada Sept tahun lalu?
Bagi penulis, prospek naik ke podium masih terarah pada kelibat Aaron-Wooi Yik dan Pearly-Thinaah. Mereka menunjukkan selera dan kemampuan besar. Lebih penting, merekalah yang paling konsisten setakat ini.
V ASHOK ialah bekas Pengarang Sukan dan Pengarang Berita Luar Negara di Berita Harian.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.