Malaysia Oversight

Menanti Harimau Malaya menerkam The Lions

By MkiniBM in September 4, 2025 – Reading time 3 minute
Menanti Harimau Malaya menerkam The Lions


ULASAN SUKAN | Aksi perlawanan di antara skuad bola sepak Malaysia dan Singapura tidak pernah membosankan. Hal itu kerana akan sentiasa wujud elemen ‘musuh tradisi’ yang sukar dipadamkan sejak hampir enam dekad lalu.

Senario sama akan berterusan apabila Harimau Malaya turun menentang pasukan tetangga kita itu dalam siri perlawanan persahabatan antarabangsa di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam ini.

Inspirasi baru hasil kemenangan menakjubkan 4-0 ke atas Vietnam pada perlawanan kelayakan Piala Asia pada 10 Jun lalu di gelanggang sama dijangka menyemarakkan semangat tuan rumah untuk membuktikan sesuatu lebih positif sekali lagi.

Harap kesebelasan negara pimpinan Peter Cklamovski akan terus membawa momentum sama untuk menjinakkan Singapura dan mengekalkan rentetan kemenangan kita.

Lazimnya, babak percakaran berlaku setiap kali dua pasukan jiran ini bertembung. Emosi juga tinggi ketika maruah menjadi pertaruhan.

Sikap tidak mahu kalah sudah dapat dilihat sejak legenda bola sepak seperti Zainal Abidin Hassan, Dollah Salleh dan rakan-rakan memperagakan kelibat masing-masing menentang barisan pimpinan ikon bola sepak Singapura, Fandi Ahmad, pada era 1980-an dan 1990-an.

Dalam pertembungan ini, isu ranking kurang dititikberatkan kerana masing-masing hanya mahu mencari jalan untuk mendapatkan jaringan lebih berbanding lawan.

Kini, Malaysia hadir dengan status selaku pasukan nombor 125 dunia dan lawan berada pada kedudukan ke-159.

Ada ramuan mencukupi

Mari lihat rekod pertemuan di antara Malaysia dan Singapura seperti dirakamkan oleh AiScore.com. Ia adalah sebuah portal statistik yang popular dengan input penting keputusan perlawanan seluruh dunia termasuk Liga Juara-Juara Eropah, Liga Perdana Inggeris, La Liga, Bundesliga dan kelayakan Piala Dunia.

Menurutnya, daripada 19 perlawanan sejak 2005, Malaysia memenangi empat perlawanan manakala Singapura merakamkan lima. Maksudnya baki 10 perlawanan pula berkesudahan dengan seri.

Jumlah jaringan pula memihak skuad negara yang meledakkan 26 gol berbanding lawan 25. Ia menceritakan saingan di antara Malaysia dan Singapura sentiasa sengit sejak lebih dua dekad lalu.

Peminat tegar sudah pasti mengidam mahu melihat angka kemenangan itu menjadi 5-5, malam ini.

Cklamovski dan anak didiknya dipercayai akan tampil dengan satu lagi aksi garang untuk mempertahankan rekod tanpa kalah di gelanggang sendiri sejak enam perlawanan antarabangsa lalu.

Kekalahan terakhir Harimau Malaya ialah ketika tewas 0-2 kepada Oman dalam aksi kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027.

Dengan limpahan pemain warisan dan naturalisasi, skuad negara tidak kekurangan ramuan dan corak permainan berorientasikan serangan dijangka akan terus dikekalkan untuk merantai skuad bergelar The Lions itu.

Apa pun, berpandu kepada pencapaian lima perlawanan terakhir, kelebihan tetap memihak lawan yang sudah merakamkan dua kemenangan, dua seri dan satu kekalahan.

Statistik ini memberi amaran awal agar kapten, Dion Cools, dan rakan sepasukan perlu lebih berwaspada walaupun pertembungan malam nanti Cuma bersifat persahabatan.

Pemain berusia 29 tahun yang beraksi untuk kelab Cerezo Osaka di Liga Jepun itu bertekad memberikan satu lagi persembahan terbaik di hadapan penyokong sendiri.

54b06264c5b6e42c87810d585bad2c8e
Peter Cklamovski

Cklamovski dipercayai akan lebih cenderung mahu mempertahankan cara permainan mengikut gaya sendiri.

Pengendali berasal dari Australia itu juga tidak gemar menyebut kesebelasan pasukan kerana pada firasatnya, semua anak didiknya dalam pasukan ada tugasan dan fungsi masing-masing. Pada dia, mereka semua sama penting.

Dia lebih mengutamakan sikap gigih dan komitmen tinggi pemain mengilhamkan kemenangan dan menghiburkan penonton.

Selepas ini, satu lagi aksi persahabatan ialah menentang Palestin pada 8 Sept ini Stadium Sultan Ibrahim, Johor.

Apa pun, rasa tidak puas hati peminat tanah air tetap wujud dengan gelagat Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menarik diri daripada menyertai kejohanan Piala Negara-Negara Persatuan Bolasepak Asia Tengah (CAFA) yang sedang berlangsung sejak 29 Ogos lalu.

Ada juga yang masih ‘buat bising’ kerana kejohanan itu lebih berkualiti, tambahan kita juga terlepas peluang baik untuk bermain menentang gergasi Asia, Iran, umpamanya.

Sebagai penawar duka, badan induk itu mengatur dua siri antarabangsa menentang Singapura dan Palestin.

Harimau Malaya tiada pilihan kecuali mengaum lebih kuat lagi di Bukit Jalil malam ini untuk melepaskan geram.


V ASHOK ialah bekas Pengarang Sukan dan Pengarang Berita Luar Negara di Berita Harian.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.



Source link