Tahun ini menandakan genap 80 tahun detik hitam dalam sejarah kemanusiaan moden tragedi pengeboman Hiroshima dan Nagasaki. Pada 6 dan 9 Ogos 1945, Amerika Syarikat menjatuhkan bom atom, mengorbankan dianggarkan 129,000 hingga 226,000 nyawa manusia.
Peristiwa ini bukan sahaja menamatkan Perang Dunia Kedua, tetapi juga meninggalkan persoalan etika yang terus menghantui sejarah: adakah ia tindakan yang wajar atau jenayah kemanusiaan?
Peperangan, pada asasnya, adalah kegagalan diplomasi. Ia dicirikan oleh pencerobohan, kemusnahan, dan korban jiwa yang besar. Lawannya adalah perdamaian. Tidak sukar untuk memahami bahawa senjata nuklear membawa penderitaan yang tidak terbayangkan.
Bahkan seorang kanak-kanak di tadika mampu membezakan antara tindakan yang berperikemanusiaan dan yang tidak. Bagaimana mungkin, dengan hati nurani yang waras, seseorang membenarkan penggunaan senjata yang menghapuskan seluruh bandar dan meninggalkan kesan radiasi selama berabad-abad?

Namun, sejarah jarang hitam-putih. Jepun ketika itu bukan sahaja enggan menyerah kalah walaupun diberi amaran berulang kali, malah falsafah ketenteraan dan budaya mereka menolak konsep menyerah diri. Selepas Hiroshima dibom, tuntutan untuk mereka mengangkat bendera putih masih tidak diendahkan.
Hanya selepas Nagasaki dibom, Jepun akhirnya menyerah pada 15 Ogos 1945. Beberapa sejarawan menyatakan bahawa jika Jepun masih enggan tunduk, serangan bom atom mungkin akan dilancarkan pula ke Tokyo.
Sebaliknya, ada kumpulan revisionis yang berpendapat Jepun sebenarnya sedang mencari jalan untuk menyerah sebelum bom digugurkan, dan faktor sebenar yang mempercepatkan keputusan mereka adalah kemaraan tentera Soviet di Manchuria. Dakwaan ini menunjukkan bahawa pengeboman tersebut mungkin bukanlah satu-satunya jalan keluar.
Inilah dilema moral yang terbesar pada abad ke-20: memilih antara dua kemudaratan. Adakah lebih baik mengorbankan ratusan ribu nyawa melalui dua bom atom, atau membiarkan peperangan berlarutan dan berisiko meragut jutaan lagi nyawa di medan tempur Pasifik? Amerika Syarikat memilih jalan yang kejam, namun berkesan untuk menghentikan musuh yang sama-sama kejam.
Pengeboman tersebut adalah tindakan yang tidak beretika, tetapi perlu. Tidak beretika kerana ia membunuh orang awam secara besar-besaran dan meninggalkan kesan radiasi berpanjangan. Tetapi perlu, kerana ia ‘mungkin’ mengelakkan korban yang jauh lebih besar jika perang berlanjutan.

Persoalan ini terus relevan hingga kini. Adakah matlamat menghalalkan cara? Atau kita hanya menerima naratif kerana ia ditulis oleh pihak yang menang? Winston Churchill pernah berkata, βSejarah ditulis oleh para pemenang.β
Justeru, 80 tahun selepas Hiroshima dan Nagasaki, kita wajar merenung semula peristiwa ini yang bukan sekadar untuk mengingati mangsa, tetapi juga untuk bertanya: apakah pengajaran yang kita ambil, dan adakah kita akan ulanginya?
MOHAMAD AZIM SHOLEHIN ABDUL SHUKOR adalah pembaca Malaysiakini.
ππ’πππ ππ πππ π‘ππππ π ππππ π‘πππ¦π ππππππππππππ πππππππππ πππππ¦π ππππππ.