PULASAN | Katalah apa pun, atau berilah dalil macam mana pun, Abdul Hadi Awang bukanlah Mahathir Mohamad. Kalau berhajat untuk terus membaca tulisan ini, seeloknya kita bersetuju dengan premis itu terlebih dulu.
Pemilihan dalam PAS masih ada baki beberapa bulan. Sudah ada cakap-cakap sinis yang diutarakan bahawa PAS tidak sekecoh parti lain apabila tiba waktu bercakap tentang pemilihan dalaman.

Dalam konteks semasa, kata-kata itu tentulah nampak lebih kepada menyindir PKR. Memang layak pun PAS memperolokkan PKR yang bercempera dalam langkah mereka menuju pemilihan baru-baru ini.
Bahawa ia menunjukkan kematangan demokrasi dalam PKR tetaplah tidak mampu memadamkan kisah-kisah kekalutan, kebingitan dan kelucuan pemilihan parti berkenaan.
Pun begitu sudah ada cakap-cakap berlapik dan menyanggit daripada beberapa pihak tentang kocakan dalaman PAS menjelang pemilihan mereka pada Sept ini.
Tumpuan utama tentulah Abdul Hadi yang dalam diam tak diam mencatat sejarah sebagai presiden paling lama dalam sejarah PAS setakat ini.
Dia menjadi presiden sejak Sept 2003. Maka apabila PAS mengadakan muktamar pada Sept tahun ini, lengkaplah 22 tahun Abdul Hadi menjadi orang nombor satu dalam PAS.

Menjelang 22 tahun itulah ada khabar yang menghantar isyarat bahawa Abdul Hadi, 77, bakal berundur dari jawatan presiden. Ghalibnya Tuan Ibrahim Tuan Manlah yang akan mengisi kekosongan itu – jika benar Abdul Hadi mahu berundur.
PAS boleh rasa bangga
Tetapi di sana sini ada cakap-cakap tentang perlunya PAS kekal dipimpin oleh ulama. Sedangkan Tuan Ibrahim itu pun ulama juga. Sekurang-kurangnya begitulah pada pandangan ahli dan penyokong PAS.
Siapa di bawah Abdul Hadi dan Tuan Ibrahim?
Ulama juga. Mohd Amar Abdullah ulama, Idris Ahmad pun ulama. Menteri Besar Terengganu, Ahmad Samsuri Mokhtar pun ulama dalam kelas tersendiri – jika kita memahami mafhum pandangan Takiyuddin Hassan yang memetik nama Mohamed Morsi dan Mahmoud Ahmadinejad.

“Asalkan dia mahir dalam hukum hakam […] dia dianggap ulamalah,” katanya dalam klip ringkas dikongsi pemimpin PAS.
Memang pun dalam PAS penuh dengan ulama. Dari peringkat tertinggi hingga paling bawah, penuh ulama belaka. Yang membezakan mereka – mungkin – cumalah gelaran yang diberikan.
Ada ustaz, ada tuan guru, ada mursyid, ada ustaz doktor (kerana memiliki PhD), malah sudah ada ‘allamah itu dan ini. Memang hebat tidak terkata.
Tetapi dalam ramainya ulama itulah timbul cakap-cakap betapa PAS mesti ditadbir ulama. Isunya ialah, siapa orang bukan ulama yang mahu mengetuai PAS tidak lama lagi?
Dan lebih penting, siapa orang atau kumpulan yang mahu mengedepankan pemimpin “bukan ulama” tersebut?
Dalam wawancara dengan Malaysiakini baru-baru ini pun, Mohd Amar – entah secara sengaja atau tidak – menghantar isyarat bahawa mungkin ada pihak yang mahu memintas Tuan Ibrahim menjadi presiden jika Abdul Hadi memilih untuk perlahan-lahan berundur.

Untuk seketika PAS boleh berlapang dada dan berbangga kerana khabar Abdul Hadi mahu berundur itu tidak menyebabkan nama Muhammad Khalil Abdul Hadi disebut-sebut untuk menjadi orang yang lebih penting berbanding kedudukannya sekarang.
PAS boleh melemparkan senyum kambing saja kalau ada sesiapa yang mahu menuduh parti itu “sama saja” dengan parti lain.
Abdul Hadi bukan Mahathir – jangan lupa itu. Walaupun hubungan mereka semakin mesra dan kian hangat sejak sama-sama menjadi pembangkang, Abdul Hadi lain dan Mahathir lain.
Isu ulama, profesional lagi
Dari segi stamina politik mungkin mereka setara, tetapi percaturan langkah kedua-dua tokoh besar Malaysia itu kadang-kadang sangat berbeza.
Misalnya, Abdul Hadi masih tekal menulis panjang-panjang semasa mengisi ruang media sosial dengan catatan Minda Presidennya, sedangkan Mahathir kadang-kadang kelihatan ala kadar dan kontot-kontot saja membuat hantaran. Macam main-main pun ada.
Abdul Hadi sudah hampir 22 tahun menjadi presiden PAS, manakala Mahathir menjadi Presiden Umno selama 22 tahun empat bulan (atau 268 bulan).

Sepanjang tempoh itu Abdul Hadi dan Mahathir mencorakkan parti masing-masing dengan kompas tersendiri. Dan dari beberapa segi, Umno kekal berbeza berbanding PAS – walaupun perlu diakui bahawa akhir-akhir ini kita pun agak keliru adakah PAS sudah menjadi pejuang Melayu.
Pun begitu tidak mengejutkan langsung kalau benar akhirnya Abdul Hadi berundur dari kerusi presiden. Dia berada di situ bukan atas keghairahan pada kuasa atau impian yang bukan-bukan.
Malah rasanya Abdul Hadi tidak pernah mengimpikan menjadi lebih daripada apa yang ada sekarang.
Apatah lagi mahu menjadi perdana menteri. Abdul Hadi dan PAS bukan begitu.
Tetapi dalam diam-diam Abdul Hadi, ada ‘asap’ berkepul-kepul naik ke udara perlahan-lahan. Untuk kali yang entah ke berapa persoalan ulama dan profesional – atau bukan ulama – bermain di tubir kuasa PAS.

Justeru muncul istilah seperti ahli “pro-DAP” atau “jebon”. Malah Geng Ustaz menggunakan istilah “syaitan” dalam menzahirkan mauduk mereka sebagai penegasan mempertahankan kepimpinan ulama.
Tegak juga bulu roma kita mendengarnya.
Betullah, kalau PAS diketuai tokoh bukan ulama, takkan Geng Ustaz nak kena tukar nama pulak, kan? Takkan nak jadi Geng Profesional – walaupun mengikut Timbalan Presiden Geng Ustaz, Mokhtar Senik, ulama juga golongan profesional.
Mana mungkin Mokhtar dan semua anggota Geng Ustaz Cintakan Ulama tiba-tiba dikenali sebagai Geng Ustaz Cintakan Profesional, kan?

Sekali lagi – Abdul Hadi bukan Mahathir.
Sesiapa yang mangli dengan politik sebelum PRU ke-15 sepatutnya arif benar bagaimana Mahathir memilih langkah. Sejak dia menapak satu demi satu pada tangga kuasa Umno, menjadi trademark anak Kedah itu untuk mencipta citra tersendiri.
Hampir dalam semua keadaan, Mahathir memilih untuk melangkah mana-mana jalan yang tidak dijangka, gagal dibaca atau enggan diambil kebanyakan orang. Mahathir ialah Mahathir.
Dalam setiap percaturan dia selalu nampak berbeza dan – tidak keterlaluan – mengejutkan. Mana saja ‘jalan’ yang disebut-sebut atau dijangka orang, jalan itu jugalah yang dielak oleh manusia bernama Mahathir.
Tetapi Abdul Hadi bukan Mahathir. PAS pula bukan Umno.

Kalau Abdul Hadi benar-benar mengundur diri, dia akan berundur dengan bergaya dan berjaya. Tidak ada kejutan sangat, sepatutnya.
Yang dijangka mengejutkan nanti ialah siapa yang menggantikan Abdul Hadi.
Sepatutnya Tuan Ibrahim. Tetapi PAS memancarkan isyarat ada sesuatu yang belum tuntas dalam beranda kuasa parti itu. Kalau rajin ‘membaca’ PAS, kita akan dapat menangkap aksara demi aksara, perkataan demi perkataan, dan ayat demi ayat yang berkias dizahirkan oleh para pemuka parti.
Tinggal terserah kepada kita untuk menterjemahnya.
AL-ABROR MOHD YUSUF ialah wartawan Malaysiakini yang percaya di antara politik hiruk dan damai, ada politik mamai.
Tulisan ini tidak mencerminkan pendirian Malaysiakini.