Demonstrasi Turun Anwar sudah berakhir. Buat kali pertamanya, orang yang didesak supaya ‘diturunkan’ itu sendiri memberi kenyataan terbuka bagi menjamin kelancaran demonstrasi untuk ‘menurunkannya’. Sebelum berhimpun dijamin kebebasannya, sesudah berhimpun didoakan pula keselamatannya sampai ke destinasi masing-masing. Ketika tuduhan dan dakwaan liar dilemparkan terhadap sang Perdana Menteri (PMX), beliau sendirilah yang berpenat-lelah menguruskan persepsi tentangnya. Itulah yang membuatkan kita tertanya-tanya dan kebingungan, bahawa kerajaan ini sebenarnya ditadbir oleh sekumpulan menteri kabinet atau seorang perdana menteri sahaja?
Di mana peranan sekian banyak jentera penerangan kerajaan untuk meluruskan naratif, sama ada tentang batang tubuh PMX itu atau polisi kerajaan berkaitan kritikan dan teguran terbuka? JKOM? Kementerian Komunikasi? Atau jentera propaganda parti politik?
Yang banyak bercakap, mengulas, menulis dan memperjelaskan secara meluas adalah para pemilik akaun media sosial secara pro-bono, dengan sukarela. Tak salah pun. Malah itulah tanggungjawab kita semua bagi memperjelaskan mana-mana yang kabur dan yang difikirkan ‘misleading’. Bukan nak dibayar dan diberi anugerah perkhidmatan cemerlang pun. Cuma, persoalannya, yang dibayar puluhan ribu ringgit setiap bulan itu mana peranannya yang mengakar dan mencengkam? Cukup lantang, jelas dan bertebaran?

Yang kedua, berapakah jumlah sebenar peserta demonstrasi tersebut? Pihak polis mengeluarkan angka lebih kurang 20,000 orang. Pihak media pula menganggarkan kira-kira 25,000 hingga 30,000. Manakala seperti biasa pihak penganjur mestilah akan meniup-niup angkanya menggelembung tak tertahan-tahan. 500,000 katanya! Jadi, bagaimana untuk kita membuat kesimpulan yang menjauhi emosi dan sentimen, supaya terlihat lebih objektif?
Permainan angka
Kita serahkan kepada makhluk yang tak beremosi dan bersentimen. Itulah ChatGPT. Ia mempunyai kemampuan untuk membuat perbandingan dan analisis berdasarkan longgokan gambar dalam internet kemudian memberikan angka yang lebih realistik. Ia tidak berpihak dan tidak mempunyai kecenderungan politik, kecuali jika kita sendiri yang memandunya untuk berfikir seperti yang kita mahukan. Dengan menggunakan prompt ‘non-bias’; ‘adil’; dan ‘paling jitu’ misalnya, kita berhasil untuk mendapatkan satu angka yang dikeluarkan oleh makhluk non-partisan dengan lebih menghampiri kebenaran, kerana kebenaran mutlak tidak dapat diperolehi sama sekali.
Apa kepentingan ‘angka’ ini? Ia menjadi modal propaganda dan perang saraf pihak penganjur bahawa mereka benar-benar berjaya menggerakkan massa rakyat untuk membenci dan menurunkan PMX. Bagi setiap satu orang yang hadir, 10 orang lagi yang menyokongnya dari belakang tanpa hadir. Nisbahnya adalah 1:10.

Maka jika yang hadir itu 500,000 orang maka angka sebenar yang menolak PMX secara tuntas adalah 5 juta orang sekurang-kurangnya. Dengan jumlah pengundi berdaftar tidak kurang daripada 24 juta orang, 5 juta itu mewakili kira-kira 20 peratus pengundi. Maka kesimpulannya, secara rawak pun sudah 20 peratus pengundi berdaftar yang menolak PMX dan kerajaannya. Demikianlah natijah daripada permainan angka tersebut.
Yang ketiga dan yang terakhir adalah masalah yang lebih mendasar daripada apa-apa yang kita saksikan dan tertawakan ketika menonton beberapa keratan video daripada demonstrasi tersebut. Memang banyak yang kita nampak kelakar dalam video yang bersebaran di media sosial. Seolah-olah peserta yang hadir itu ramai yang tidak mempunyai sebarang pengetahuan am atau kesedaran politik tetapi hadir sekadar terikut-ikut dengan emosi yang dipancing menggunakan modal agama dan bangsa.
Video pertama memaparkan seorang pemidato yang melaungkan kebenciannya terhadap PMX dengan berkata, “Bangsat Anwar. Kita akan humban dia dalam penjara. Anwar Zionis!”

Anwar Zionis? Wah, barangkali Netanyahu juga akan terkesima dengan laungan ‘Anwar Zionis’ kerana Zionis sendiri faham benar akan penentangan Anwar terhadap Zionis dan hubungan baik dua hala antara Anwar dengan orang Palestin. Mungkin pemidato tersebut terbawa-bawa dan terperangkap dengan semangatnya yang sedang berhadapan dengan ribuan pendengar.
Ghairah melampau. Sebarang data dan fakta sahih? Tiada.
Video kedua pula memaparkan seorang wanita yang didakwa sebagai profesor (profesor di mana tak tahu!) yang menuduh Anwar telah dua kali menjadi Perdana Menteri dan terlibat dalam menjual banyak tanah rizab Melayu. Data dan fakta sahih? Tiada.
Merapu tak tentu hala
Video ketiga pula menunjukkan temuramah dengan seorang pemuda yang merapu tak tentu hala apabila ditanyakan “siapakah yang boleh menggantikan PMX?”. Dijawabnya, “Safwan. Eh, tak tak Afnan, Menteri Besar Terengganu.” Kegelabahan ini menjadi bahan lelucon di seluruh negara sehingga tersebar pula ‘memes’ berkaitannya dalam tempoh beberapa jam sahaja.
Video-video lain turut memaparkan tahap pengetahuan dan penguasaan isu para peserta demonstrasi tentang “apa sebenarnya yang mereka mahu?”. Mereka mahu ‘Anwar Turun’ tetapi tidak jelas sebabnya “mengapa Anwar perlu turun?”.
Semua jawapannya berdasarkan skema yang ditulis oleh pemimpin politik mereka. Paling tak terduga adalah pidato daripada beberapa pimpinan utama yang menjual cerita harga barang naik, minyak naik, ayam naik, dan mata wang jatuh. Sebagai pemimpin politik mereka tidak perlu kisah sama sekali dengan fakta tetapi malangnya para pendengar menyambut cerita mereka dengan keterujaan dan membuang segala kebenaran nyata di hadapan mata.

Tidakkah mereka sedar bahawa harga keperluan asas secara umumnya sangat terkawal dan keberadaan stok juga tidak lagi terputus sepertimana sebelum ini? Beras, minyak masak dan telur tidak lagi mengalami masalah kekurangan bekalan dan harganya dalam julat yang munasabah.
Sepatutnya demonstrasi ini membangkitkan soal kelewatan beberapa janji parti kerajaan untuk melakukan reformasi pentadbiran. Pembatasan jawatan perdana menteri kepada dua penggal. Pemisahan kuasa antara perdana menteri dengan menteri kewangan misalnya. Atau setidak-tidaknya apa perkembangan kes rasuah yang disebut-sebut di Sabah itu? Projek yang dianugerahkan kepada kroni juga boleh dibangkitkan. Isu pendidikan yang masih panas menjadi polemik harian juga tidak menjadi tumpuan demonstrasi. Apa definisi ‘Maha Kaya’ yang sering dijaja oleh PMX, mengapa tak disoal? Yang mereka laung hanyalah ‘Turun Anwar!’ Alasannya empirikalnya apa?
Lebih parah adalah sebuah video pengakhiran majlis yang menayangkan bacaan doa pimpinan PAS. Tiada siapapun yang mempertikaikan kebaikan doa tetapi yang dikesali adalah isinya dan nadanya yang ditujukan secara keras terhadap seorang Muslim yang beriman, seolah-oleh ia adalah musuh agama yang perlu didoakan kehancurannya, secara literal. Inilah kemuncak daripada pertembungan ini.
Apakah yang menjadi kebimbangan daripada sekian banyak hal tersebut? Bahawa naratif palsu dan dangkal bersebaran dan bertebaran lalu diterima sebagai kebenaran. Lebih parah, usaha meluruskannya tidak dijalankan secara intensif dan bersungguh-sungguh oleh pemerintah yang menguasai sekian banyak aparatus penerangan.
Kepalsuan sedang memamah kebenaran. Sedang kebenaran sedang terus-terusan lena diulit kuasa. Demonstrasi ini adalah ‘wake up call’ kepada Kerajaan Perpaduan untuk menyebarluaskan penerangan dan memperkuatkan naratif kerja kerajaan. Demonstrasi tidak salah kerana ia dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan. Yang salah adalah mereka yang tidak mengambil pengajaran daripadanya ketika kemampuan dan kuasa berada di tangannya.
SAHUL HAMID MOHAMED MAIDDIN pensyarah kanan Jabatan Sejarah Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
Artikel ini pandnagan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.