Malaysia Oversight

Melampau, polis siasat Arul PSM guna Seksyen 353

By MkiniBM in August 14, 2025 – Reading time 2 minute
Melampau, polis siasat Arul PSM guna Seksyen 353


Suaram menyifatkan penggunaan Seksyen 353 Kanun Keseksaan untuk menyiasat Timbalan Pengerusi Parti Sosialis Malaysia (PSM), S Arutchelvan, sebagai “tidak sepadan dan melampau”.

Pengarah Eksekutifnya, Azura Nasron berkata tindakan itu diambil kerana polis menghalang penunjuk perasaan aman daripada menghampiri Parlimen — sedangkan amalan tersebut selari dengan tradisi protes di Malaysia.

Azura berkata penggunaan Seksyen 353 itu menunjukkan satu “peningkatan membimbangkan” berbanding semasa yang sebelum ini menggunakan Seksyen 186 Kanun Keseksaan — halangan terhadap penjawat awam — terhadap sekurang-kurangnya empat perhimpunan aman.

“Walaupun lebih sedekad menguruskan perhimpunan di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012 (APA), polis sejak 2020 semakin menolak penunjuk perasaan lebih jauh dari pintu masuk Parlimen ke kaki bukit — sekali gus menjejaskan tujuan utama perhimpunan aman: menyampaikan tuntutan awam secara langsung kepada wakil rakyat.

5ffc9608a995b2d3493c578e12df8d8c
Pengarah Eksekutif Suaram Azura Nasron.

“Oleh itu, Suaram menggesa polis segera menggugurkan siasatan terhadap Arutchelvan dan menghentikan semua bentuk intimidasi terhadap penunjuk perasaan aman,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Seksyen 353 memperuntukkan kesalahan menyerang atau menggunakan kekerasan terhadap penjawat awam ketika menjalankan tugas.

Semalam, polis mengesahkan bahawa kekecohan di luar Parlimen — yang menyaksikan Arutchelvan terjatuh ke tanah — telah mengakibatkan seorang anggota polis cedera.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Fadil Marsus berkata satu laporan polis telah dibuat dan kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 353/427 Kanun Keseksaan.

e2ceb2755300003935832cca781c0622

Dalam rakaman video yang dilihat Malaysiakini, kekecohan tercetus antara beberapa pekerja estet dan pihak polis selepas pihak berkuasa dilihat cuba menghalang perarakan menuju ke pintu masuk Parlimen.

Dalam pada itu, Azura berkata penggunaan Seksyen 353 terhadap Arutchelvan meletakkan kesalahan ke atas rakyat yang menggunakan hak perlembagaan mereka untuk berhimpun secara aman.

Namun pada masa sama, katanya, ia gagal memegang pihak polis bertanggungjawab terhadap sebarang kegagalan memudahkan protes secara berkesan.

Dia menggesa Kementerian Dalam Negeri meneliti semula protokol polis bagi memastikan pegawai mengamalkan pendekatan berasaskan hak asasi manusia dalam mengendalikan perhimpunan, termasuk di lokasi berkeselamatan tinggi seperti Parlimen.

406e602a6dc877baeae5fcd173fa1015

“Di tengah-tengah pindaan berterusan terhadap akta perhimpunan aman, Madani mesti memastikan amalan kawalan perhimpunan mencerminkan — dan tidak menjejaskan — komitmennya terhadap agenda reformasi,” katanya.

Arutchelvan bersama ratusan pekerja ladang telah berarak dari Taman Tugu ke Parlimen untuk menyerahkan memorandum mendesak menggubal undang-undang yang mewajibkan syarikat perladangan membina rumah pekerja.

Memorandum itu diserahkan kepada Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) M Kulasegaran, wakil kepada timbalan perdana menteri kedua, serta ketua whip Perikatan Nasional, Takiyuddin Hassan.

Arutchelvan menjelaskan sejak era bekas perdana menteri Abdul Razak Hussein lagi, satu skim telah diwujudkan untuk mewajibkan syarikat perladangan membina rumah pekerja ladang.

Namun, katanya ketiadaan undang-undang khusus menyebabkan syarikat perladangan tidak mematuhi kewajipan tersebut.



Source link