Majlis Media Malaysia (MMM) menyuarakan “kebimbangan serius” terhadap denda RM100,000 yang dikenakan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) terhadap Sin Chew Media Corporation Berhad dan Sinar Karangkraf Sdn Bhd, sambil memberi amaran bahawa hukuman berat sebegitu berisiko mewujudkan ketakutan dan penapisan sendiri dalam bilik berita.
Majlis media berkata walaupun pihaknya mengakui kepentingan ketepatan dan penghormatan terhadap simbol kebangsaan, hukuman yang dikenakan itu berlebihan dan tidak seimbang dengan kesalahan yang didakwa.
““Hukuman yang begitu berat boleh mewujudkan suasana ketakutan dan penapisan sendiri dalam kalangan wartawan serta pengarang, sekali gus melemahkan tanggungjawab utama media untuk memaklumkan masyarakat dan memantau pihak berkuasa,” katanya.
MCMC mengenakan denda RM100,000 masing-masing terhadap Sin Chew Media dan Sinar Karangkraf susulan kebenaran daripada Jabatan Peguam Negara (AGC).
Dalam kenyataan hari ini, MCMC berkata siasatan dijalankan selepas Sin Chew Daily didakwa memuat naik paparan tidak lengkap Jalur Gemilang di laman webnya.
Secara berasingan, Sinar Harian dikenakan penalti kerana menerbitkan infografik dengan ralat yang tersalah menyatakan Ketua Polis Negara Khalid Ismail sebagai ahli PKR.
Kedua-dua syarikat media itu disiasat di bawah Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta dituduh di bawah Seksyen 243 akta sama.
Sementara itu, Majlis Media Malaysia berkata walaupun mengakui kuasa penguatkuasaan MCMC di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 namun tindakan sebegitu mesti dilaksanakan dengan seimbang dan adil.
Menurutnya, kesilapan tidak disengajakan, walaupun dikesali, seharusnya mengundang langkah pembetulan, bukannya hukuman berat yang mengancam kelangsungan bilik berita, melemahkan laporan berkepentingan awam dan menyekat kepelbagaian media.
Majlis media itu turut menegaskan isu berkenaan tercetus ketika industri media Malaysia sedang melalui transformasi pesat, dengan kecerdasan buatan (AI) dan peralatan digital membentuk semula kaedah pengumpulan serta penyampaian berita.
“Penalti yang melampau menimbulkan ketidaktentuan dan boleh menghalang bilik berita daripada bereksperimen serta berinovasi dengan teknologi baharu ini, sekali gus menjejaskan pembangunan landskap media yang lebih dinamik dan berpandangan jauh.
“MMM menyeru MCMC, Kementerian Dalam Negeri, organisasi media dan Majlis sendiri untuk mengadakan dialog konstruktif bagi membangunkan garis panduan yang lebih jelas serta rangka kerja yang telus dan kolaboratif dalam menangani isu seumpama ini.
“Matlamat bersama kita mestilah untuk melindungi integriti kewartawanan dan hak orang ramai terhadap maklumat, sambil memberi ruang kepada media untuk berkembang, menyesuaikan diri dan berinovasi,” tambahnya.