Malaysia Oversight

Melaka tarik sijil halal dua hotel lima bintang gara-gara ‘parti arak’

By MkiniBM in May 27, 2025 – Reading time 2 minute
malaysiakini logo


negeri Melaka menarik semula sijil halal dua buah hotel terkemuka bertaraf lima bintang di Banda Hilir, di Melaka susulan penganjuran satu program ‘ala parti arak’ di premis itu, baru-baru ini.

Tindakan tegas itu diambil selepas serbuan oleh Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Agama Melaka (Jaim) sejurus menerima aduan daripada orang awam.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Rahmad Mariman berkata dalam serbuan berkenaan, pihaknya mendapati penganjuran program berkenaan menggunakan peralatan sama dengan dapur yang mendapat pensijilan halal.

“Semasa pemeriksaan dibuat hasil aduan awam, kita (Jaim) mendapati memang ada parti sedang berlangsung dan bekas arak ini dicampur penggunaannya dengan peralatan dapur yang sudah dipersijilkan halal.

“Kesalahan itu juga telah diakui pihak hotel dan kita mengambil tindakan tegas menarik semula serta merta sijil halal yang telah dikeluarkan kira-kira lima tahun lalu,” katanya kepada media, semalam.

Tambahnya, penarikan sijil halal dibuat selepas terdapat ketidakakuran serius (aspek syariah) iaitu di bawah klausa 32(3)(a)(ii) Manual Prosedur Pensijilan Halal Malaysia Domestik 2020 (MPPHM 2020).

Rahmad yang juga timbalan pengerusi Majlis Agama Melaka (Maim), berkata kedua-dua hotel terkemuka itu diberikan tempoh selama tiga bulan untuk membuat permohonan semula sijil halal.

Katanya, dalam tempoh berkenaan, jika pihak Jaim berpuas hati, sijil halal akan dikembalikan dengan syarat mereka menepati semua syarat ditetapkan serta tidak mengulangi kesalahan sama di masa hadapan.

“Bagaimanapun setakat hari ini, mereka belum membuat permohonan semula dan Jaim akan terus melakukan pemantauan bagi memastikan tiada kesalahan serupa dilakukan 30 lagi hotel lain yang mempunyai sijil halal,” katanya.

Tambah Rahmad, ketegasan negeri itu diharap dapat memberi keyakinan kepada orang ramai untuk berkunjung ke premis di Melaka yang sudah memperoleh sijil halal.

“Justeru, pada peringkat negeri, kita tidak akan menganjurkan apa-apa program di hotel yang tiada persijilan halal sehinggalah mereka perolehi semula sijil berkenaan,” katanya.



Source link