PARLIMEN | Kementerian Kewangan mungkin mengumumkan mekanisme baru untuk pemandu e-hailing minggu ini, atau dalam beberapa minggu akan datang, kata timbalan menterinya Lim Hui Ying.
Dia memberitahu Dewan Rakyat bahawa kerajaan dalam proses mengkaji perkara itu.
“Seperti yang saya ucapkan, kita tidak mahu mana-mana golongan yang tercicir.
“(Bagi) e-hailing memang kerajaan telah sebutkan komitmen, akan menambah penggunaan liter mereka tetapi mekanisme kita masih kaji.
“Mungkin dalam beberapa minggu atau dalam minggu ini, Kementerian Kewangan kita akan umumkan,” katanya menjawab soalan daripada Abdul Latiff Abdul Rahman (PN-Kuala Krai).
Abdul Latiff bertanya sama ada pemandu e-hailing akan dilayan secara saksama di bawah subsidi bahan api kerana mereka hanya menerima tambahan 300 liter subsidi, berbanding had 1,400 liter sebulan untuk pemandu teksi.
Ini walaupun pekerjaan tersebut mempunyai sifat yang serupa, kata Abdul Latiff.
Pada 1 Okt, Kementerian Kewangan berkata ia memberikan pemandu e-hailing kelayakan tambahan untuk Budi95, bermula 15 Okt.
Minggu berikutnya, Menteri Kewangan II, Amir Hamzah Azizan berkata kelayakan untuk kuota Budi95 tambahan untuk pemandu e-hailing dan p-hailing akan bergantung pada penggunaan bahan api mereka.
Subsidi bahan api Budi95 telah dilaksanakan secara berperingkat bermula 27 Sept.
Ia membolehkan semua rakyat Malaysia yang mempunyai lesen memandu yang sah membeli petrol RON95 pada harga RM1.99 seliter, dihadkan pada 300 liter sebulan.
Warga asing yang memandu kenderaan berdaftar tempatan perlu membayar harga pasaran untuk RON95, dianggarkan sekitar RM2.60 seliter, manakala kenderaan berdaftar asing masih akan dihadkan kepada RON97.
*Laporan oleh Zarrah Morden, Alyaa Alhadjri






