Majlis Media Malaysia menggesa pihak polis bekerjasama dengan pihak media bagi memastikan petugas media diberikan akses ke lokasi kejadian.
Demikian kata pengerusi penajanya Premesh Chandran ketika diminta mengulas keputusan pihak polis tidak membenarkan pihak media membuat liputan proses pengusiran kerajaan di Kampung Sungai Baru, Kuala Lumpur, hari ini.
“Sambil kita menghormati peranan polis untuk mengekalkan ketenteraman awam, media juga harus dibenarkan memainkan peranannya melaporkan secara objektif mengenainya demi berkepentingan awam.
“Laporan media akan memastikan ketelusan dan akauntabiliti semua pihak, serta membolehkan orang ramai menerima maklumat yang dipercayai, dan bukannya bergantung kepada maklumat tanpa sumber yang tular dalam talian.
“Dalam era AI (kecerdasan buatan), yang video dan imej boleh dicipta, menutup akses media tidak selari dengan visi sebuah masyarakat bermaklumat,” katanya kepada Malaysiakini.
Awal pagi ini polis mengawal ketat Kampung Sungai Baru, bagi tujuan mengosongkan kediaman penduduk yang enggan berpindah.
Tiada mana-mana pihak termasuk media dibenarkan masuk ke kawasan berkenaan yang dikawal oleh pihak polis sejak awal pagi ini.
“Hanya mereka yang mempunyai pas khas sahaja dibenarkan masuk. Petugas media juga tidak dibenarkan masuk, maaf ya,” kata seorang anggota polis yang bertugas.
Wartawan di lapangan memberitahu Malaysiakini bahawa pihak polis berkata media tidak dibenarkan membuat liputan kerana “arahan dari atas”.
Terdahulu, polis menahan beberapa individu susulan kekecohan ketika operasi pengosongan melibatkan 37 unit rumah teres sehingga menyebabkan Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Sulizmie Affendy Sulaiman berlumuran darah akibat cedera di kepala.
Ketua Polis Kuala Lumpur Fadil Marsus berkata pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang mencetuskan provokasi sehingga mencederakan pegawai polis itu.
Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkata siasatan menyeluruh akan dijalankan bagi mengenal pasti sama ada wujud elemen oportunis politik yang sengaja memanipulasi situasi, bagi menimbulkan ketegangan dan keresahan dalam kalangan masyarakat.
“Sepintas lalu mereka dilihat membela (rakyat) tetapi tampil dengan menghasut dan menyebarkan maklumat palsu, menimbulkan tohmahan, menganjurkan keganasan dan juga menyemarakkan kebencian,” katanya pada sidang media Mesyuarat Menteri-Menteri Asean Mengenai Jenayah Rentas Sempadan (AMMTC) ke-19 hari ini, di Melaka.
Saifuddin berkata kebebasan berhimpun tidak boleh disalah guna dengan melakukan perbuatan yang menyalahi undang-undang seperti mencederakan penjawat awam, kerana perbuatan tersebut adalah satu kesalahan.