Di acara IDECS 2025 yang sedang berlangsung di Kuching, Sarawak, negeri tersebut telah memperlihatkan cita-cita untuk memajukan sejumlah proses teknikal dan birokrasi di negara tersebut, dan salah satu usaha tersebut ialah untuk mendigitalkan sektor pengeluaran dan pengilangan negeri tersebut.
Terkini, MEASAT, syarikat pembekal perkhidmatan satelit Malaysia telah mendatangani kerjasama tiga-hala bersama dua syarikat pembekal perkhidmatan IoT dari China, iaitu Beijing Guodian High-Tech Technology Co., Ltd. (“Guodian Gaoke”) dan China StarWin Science & Technology Co. Ltd. (“StarWin”) untuk membekalkan perkhidmatan tersebut melalui rangkaian internet satelit LEO (Low Earth Orbit) Tianqi di negeri tersebut.

Kerjasama tersebut telah dimeterai diantara ketiga-tiga syarikat tersebut, bersama-sama dengan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Haji Abdul Rahman Zohari Abang Haji Openg dan Menteri Komunikasi dan Utiliti Sarawak, Dato Sri Haji Julaihi Haji Narawi.
Measat merupakan perkhidmatan pembekal internet satelit ini, yang menggunakan rangkaian Tianqi yang dibangunkan oleh Guodian Gaoke, manakala StarWin pula akan membekalkan kelengkapan terminal penerimaan sambungan internet satelit di permukaan bumi.
Kerjasama ini adalah sebahagian daripada pelan Sarawak Digital Economy Blueprint 2030 yang menyasarkan bahawa Sarawak akan menjadi sebuah negeri maju, dengan liputan rangkaian internet mencapai 96 peratus di seluruh negeri, pendigitalan 100 peratus perkhidmatan kerajaan dan 20 peratus daripada GDP negeri dihasilkan oleh ekonomi digital menjelang 2030.

Dato Sri Haji Julaihi Haji Narawi turut mengatakan bahawa teknologi IoT sudahpun memperlihatkan penambahbaikan kepada sektor pertanian, yang meningkatkan produktiviti sebanyak 20 peratus, dan keuntungan yang lebih tinggi.
Dengan infrastruktur IoT yang akan diperkenalkan kepada seluruh sektor pertanian di negeri tersebut, jangkaan mereka ialah ia akan meningkatkan pengeluaran setinggi 50 peratus, 40 peratus peningkatan dari segi hasil pendapatan rumah dan pengurangan sebanyak 40 peratus dari segi kos buruh.
“Kami berbangga untuk menyokong visi Kerajaan Sarawak sebagai Perunding SpaceTech dan penyedia perkhidmatan, menggunakan penyelesaian IoT satelit untuk mengatasi cabaran geografi dan memacu pertumbuhan yang mampan. Perkongsian strategik ini menandakan pencapaian penting bagi MEASAT, yang membolehkan keupayaan internet satelit kami diperlihatkan dan menyumbang kepada transformasi digital Sarawak dan Malaysia.” kata Yau Chyong Lim, CEO MEASAT.






