Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengumumkan pelantikan bekas ketua hakim negara, Md Raus Sharif sebagai pengerusi jawatankuasa bebas bagi menyiasat isu dokumentasi membabitkan tujuh pemain warisan Harimau Malaya.
Menerusi satu kenyataan di Facebook, FAM berkata, jawatankuasa bebas itu tidak akan membabitkan mana-mana individu dari badan induk itu bagi memastikan proses siasatan dapat dilaksanakan secara adil, telus dan profesional.
Ketujuh-tujuh pemaian berkenaan dikenakan penggantungan 12 bulan oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

“Tun Md Raus memulakan kerjaya dalam Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan pada tahun 1976, di mana beliau memegang pelbagai jawatan penting termasuk Majistret, Presiden Mahkamah Sesyen, Timbalan Pendakwa Raya dan Penasihat Undang-undang bagi negeri Melaka dan Kelantan serta Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Kementerian Pertahanan dan Kementerian Dalam Negeri.
“Beliau dilantik sebagai Pesuruhjaya Kehakiman pada 1994 dan seterusnya dinaikkan pangkat sebagai Hakim Mahkamah Tinggi pada 1996, kemudian dilantik sebagai Presiden Mahkamah Rayuan dan mencapai kemuncak kerjaya kehakimannya apabila dilantik sebagai Ketua Hakim Negara pada 2017.
“Di peringkat antarabangsa pula, Tun Md Raus memegang peranan terbilang sebagai Presiden Persatuan Mahkamah Perlembagaan Asia dan Institusi Setaraf. Beliau juga merupakan ahli aktif Majlis Ketua Hakim Negara Asean (CACJ) yang menyumbang kepada wacana dan kerjasama undang-undang serantau,” kata FAM.
Berdasarkan kredibiliti dan pengalaman luasnya, FAM berharap Md Raus bersama-sama ahli jawatankuasa bebas tersebut yang akan dipilih oleh dirinya sendiri akan dapat sama-sama menjalankan proses siasatan secara teliti dan menyeluruh.

Mereka kemudiannya akan membuat satu rumusan hasil siasatan itu nanti.
September lalu, FAM dan tujuh pemain warisan iaitu Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel dikenakan hukuman oleh Jawatankuasa Tatatertib FIFA setelah didapati melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA berkenaan pemalsuan dokumen.
Dalam kenyataan sebelum ini, FIFA memaklumkan FAM telah mengemukakan dokumen yang dipalsukan bagi mengesahkan kelayakan pemain-pemain terbabit untuk beraksi dalam pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia 2027 menentang Vietnam pada 10 Jun.
Susulan itu, FAM dikenakan denda CHF 350,000 (kira-kira RM1.8 juta), manakala setiap pemain didenda CHF 2,000 (sekitar RM10,560) dan digantung selama 12 bulan daripada sebarang aktiviti berkaitan bola sepak, berkuat kuasa dari tarikh notis keputusan dikeluarkan.

Dalam penjelasan sebelum ini, FAM menyatakan berlaku kesilapan teknikal dalam proses penghantaran dokumen melibatkan tujuh pemain berkenaan yang dilakukan oleh seorang pegawai pentadbiran.
FAM turut tidak menolak kemungkinan membawa kes itu ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) sekiranya rayuan pada peringkat FIFA tidak membuahkan hasil positif.
.






