Malaysia Oversight

MCW gesa batal cadangan tol Genting Highlands

By Utusan in November 14, 2025 – Reading time 2 minute
Tol Genting Highlands


PETALING JAYA: Pelaksanaan kutipan tol di Genting Highlands perlu dibatalkan sehingga hasil siasatan dan semakan integriti diselesaikan.

Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim berkata, ini kerana tanah tersebut adalah tanah negeri yang diberikan premium kepada syarikat dengan sebahagiannya melibatkan kawasan hutan simpan yang telah dinyahwartakan.

Malah katanya, jalan yang digunakan orang awam tidak boleh dikenakan tol secara unilateral oleh pihak swasta,

“MCW menggesa negeri Pahang dan memberikan penjelasan terbuka mengenai status tanah, syarat kelulusan dan legaliti tol tersebut.

“Di samping itu, Kementerian Kerja Raya (KKR) dan Kementerian Kewangan perlu menyatakan pendirian rasmi terhadap kutipan tol oleh entiti swasta di jalan yang digunakan umum,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Genting Malaysia Berhad sebelum ini mengesahkan rancangan untuk mengenakan caj ke atas kenderaan yang menggunakan Jalan Genting Highlands, dengan pelaksanaannya dijangka diumumkan pada tarikh yang akan ditetapkan kemudian.

Dalam pada itu Jais berkata, satu semakan integriti perlu dilakukan segera terhadap proses pewartaan, kelulusan tanah, perubahan guna tanah dan kelulusan tol.

“MCW berpandangan bahawa model pembangunan negara tidak boleh beralih kepada privatisasi keuntungan, sosialisasi beban kepada rakyat.

“Apa-apa bentuk kutipan yang berkaitan dengan utiliti awam mesti melalui proses perundangan dan kelulusan , bukan keputusan unilateral pihak swasta,” katanya. – UTUSAN





Source link