Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) semalam merakam keterangan tiga lagi individu berhubung hantaran palsu berunsur perkauman di media sosial.
Ia melibatkan insiden seorang wanita menaiki pentas utama semasa sambutan Hari Kebangsaan di Ipoh, Perak baru-baru ini.
MCMC memaklumkan hantaran yang mendakwa tindakan itu dilakukan seorang wanita berbangsa Cina adalah tidak benar dan berpotensi mencetuskan ketegangan kaum serta persepsi negatif dalam kalangan masyarakat.
Menurut kenyataan itu, rakaman keterangan dilakukan di Balai Polis Kuala Nerang, Kedah; Balai Polis Beserah, Kuantan; dan Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut, Pulau Pinang.
“Sebanyak tiga unit telefon bimbit, tiga keping kad SIM dan satu kad memori telah disita bagi tujuan analisis forensik digital,” katanya.
MCMC memaklumkan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM500,000 atau penjara hingga dua tahun atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan.
MCMC turut mengingatkan orang ramai agar sentiasa mengesahkan kesahihan maklumat sebelum membuat atau menyebarkan sebarang kandungan di media sosial.
– Bernama