Malaysia Oversight

MCA saran RCI semak ketelusan sistem kemasukan universiti awam

By MkiniBM in August 5, 2025 – Reading time 2 minute
MCA saran RCI semak ketelusan sistem kemasukan universiti awam


PARLIMEN | Presiden MCA Wee Ka Siong menggesa menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyemak semula ketelusan sistem pengambilan pelajar di universiti awam.

Wee (Ayer Hitam-) mendakwa penubuhan RCI itu penting selepas laluan ke pendidikan tinggi dalam bidang kritikal semakin tersekat.

“Jika pelajar tidak diberikan peluang sewajarnya untuk melanjutkan pengajian, bagaimana Malaysia mahu membina ekonomi berasaskan pengetahuan dan bersaing dalam era digital akan datang?

“Maka, saya sarankan supaya segera tubuhkan satu RCI bagi menyemak semula ketelusan sistem pengambilan pelajar, termasuk semua data yang berkaitan dengan merit, dan kelayakan supaya memanfaatkan pelajar tempatan dan tidak memaksa mereka yang berkeputusan cemerlang ke saluran komersial,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Terdahulu, dalam ucapan perbahasan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), Wee menggesa segera melakukan reformasi pendidikan tinggi.

Menurutnya, sistem pendidikan tinggi Malaysia sedang menghadapi krisis pendanaan yang serius, menyebabkan universiti awam terpaksa bergantung pada yuran komersial untuk menampung operasi.

“Menurut data terkini, sesetengah universiti hanya menerima 61% daripada peruntukan yang dimohon, memaksa mereka menjadikan yuran pelajar sebagai sumber pendapatan utama berbanding hasil penyelidikan (R&D) atau perkhidmatan perunding,” katanya.

Menurutnya, sebagai contoh Universiti Malaya (UM) menaikkan yuran kursus perubatan melalui Saluran Terbuka (SATU) kepada RM500,000 bagi sesi 2025/2026 – peningkatan 67% berbanding tahun sebelumnya menjadikan kos pengajian di universiti awam itu lebih mahal daripada institusi swasta.

Katanya, data Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mendedahkan kadar kemasukan pelajar antarabangsa ke universiti awam berkembang pada kadar 11.99% setahun (2018-2024), jauh lebih tinggi berbanding pelajar tempatan (1.73%).

“Situasi ini mencetuskan kebimbangan bahawa universiti awam kini lebih mengutamakan pelajar asing berbayar, sedangkan peruntukan infrastruktur dan tenaga pengajar tetap terhad.

“Walaupun autonomi universiti awam penting untuk pengkomersialan R&D (penyelidikan dan pembangunan), ia tidak sepatutnya digunakan untuk mengeksploitasi yuran pendidikan.

“Program asasi seperti Asasi Sains UM yang dahulunya diperuntukkan untuk bumiputera, kini dibuka kepada sesiapa yang mampu bayar, mengubahnya menjadi saluran ‘bayar untuk masuk’,” katanya.

Selain itu, Wee juga berkata sistem pendidikan tinggi juga menghadapi isu ketelusan dan meritokrasi.

“Sebagai contoh, tiada maklumat terperinci dikongsi mengenai kuota pengambilan pelajar melalui saluran UPU berbanding Saluran Terbuka dan juga kita tidak ada maklumat purata merit (PNGK) pelajar yang diterima dalam kedua-dua saluran.

“Kita juga dalam kegelapan mengenai jumlah sebenar pelajar STPM yang berjaya memasuki kursus kritikal,” katanya.

Katanya, universiti awam perlu kembali kepada fungsi asal sebagai pemangkin mobiliti sosial, bukan entiti komersial.

tidak boleh biarkan keadaan ini berterusan seperti ‘anak kera disusui, anak sendiri kelaparan’.

“Langkah segera diperlukan untuk memastikan pendidikan tinggi berkualiti tetap terakses kepada rakyat Malaysia, selari dengan aspirasi negara dalam AI (kecerdasan buatan) dan inovasi,” katanya.

*Laporan oleh Alyaa Alhadjri, Zarrah Morden, B Nantha Kumar.



Source link