Ketika MCA sedang menimbangkan untuk keluar daripada BN, bekas presiden MCA, Dr Chua Soi Lek berkata langkah itu wajar — jika gabungan itu terus berpegang pada peraturan yang hanya membenarkan parti penyandang bertanding di kerusi yang mereka menangi pada pilihan raya umum akan datang.
Chua pernah mencadangkan agar MCA keluar daripada BN selepas prestasi buruk parti itu pada Pilihan Raya Umum 2018.
Katanya, walaupun dia masih berpendapat langkah itu tepat, jika MCA mahu keluar dari BN pada masa sekarang maka parti tersebut juga perlu memberikan alasan yang munasabah kepada rakyat.
“Kita sudah terlalu lama dalam BN. Kalau kita nak keluar, kita perlu ada alasan yang rakyat boleh terima. Tak boleh sekadar jadi hero palsu — tak ada maknanya. Sebab akhirnya, politik ini tentang satu perkara: rakyat dan undi mereka.

“Kalau nak tanya saya, saya akan cakap terus terang — kalau BN terus dengan peraturan bahawa mana-mana parti komponen yang kalah dua kali di kerusi sama tidak lagi dibenarkan bertanding atas tiket BN, maka sudah sampai masa untuk MCA ucapkan ‘selamat tinggal’,” katanya.
Bekas menteri berusia 78 tahun itu bercakap pada satu temu bual podcast berbahasa Cina bersama Malaysiakini yang membincangkan hala tuju masa depan MCA.
Podcast tersebut dimuat naik semalam di YouTube, Spotify, dan Apple Podcasts.
Chua berkata dengan peraturan agihan kerusi BN itu maka MCA mungkin hanya tinggal dua kerusi parlimen dan beberapa kerusi DUN untuk ditandingi.

“Itu cuma pandangan saya. Saya tak tahu apa keputusan pimpinan parti nanti. (Tapi kalau betul ia jadi begitu,) maka sudah tiba masanya, kita patut kata ‘terima kasih, dan selamat tinggal’,” tambahnya.
Namun begitu, dia tidak menolak kemungkinan MCA kekal dalam BN untuk bertanding di kerusi yang disandang ketika ini, sambil juga meletakkan calon di kawasan boleh menang di bawah logo parti sendiri.
Perdebatan dalaman makin hangat
Kebelakangan ini, bahagian-bahagian MCA di seluruh negara sedang mengadakan mesyuarat agung tahunan perwakilan dan banyak daripadanya meluluskan usul menolak sebarang bentuk kerjasama dengan DAP.
Sesetengah bahagian juga menyokong gesaan agar MCA keluar daripada kerajaan Madani, bertanding secara solo dalam PRU akan datang dan meninggalkan BN sepenuhnya.
Pada 30 Jun lalu, Setiausaha Agung MCA, Chong Sin Woon (gambar bawah) berkata kepimpinan pusat akan meneliti semua usul peringkat bahagian sebelum memutuskan hala tuju parti, yang berkemungkinan dibentangkan dalam Mesyuarat Agung Tahunan Pusat (AGM) pada 2 November.

Dalam podcast itu, Chua berseloroh dia kini hanya “ahli biasa” dan tidak tahu apa keputusan yang akan dibuat oleh kepimpinan pada bulan November.
Namun menurutnya, masa elemen penting dalam politik dan MCA tidak semestinya perlu menunggu AGM untuk membuat keputusan.
“Politik ini semua tentang masa — sama macam bila nak ajak seorang gadis keluar. Takkan nak ajak dia makan malam masa banjir atau ribut petir. Itu bukan masa yang sesuai. Politik pun sama juga,” katanya dengan nada jenaka khasnya.
Chua turut berkata pilihan raya negeri Sabah yang akan datang tidak wajar dijadikan penanda aras untuk menentukan jika MCA patut keluar BN, kerana pengaruh parti itu sangat lemah di negeri berkenaan.
“Kawan-kawan parti saya di Sabah mungkin akan marah saya cakap macam ni, tapi itulah hakikatnya,” katanya.
Dia mengakui MCA perlu berdepan dengan realiti politik — bahawa parti itu kini hanya mempunyai dua ahli parlimen dan tujuh Ahli Dewan Undangan Negeri, sekali gus menjadikannya lemah dari segi kuasa tawar-menawar.
Sindiran terhadap Liow
Mengimbas masa lalu, Chua mengenang bagaimana MCA pernah meluluskan satu resolusi untuk tidak menerima jawatan dalam kabinet sekiranya prestasi buruk dalam PRU13.
“Resolusi itu diluluskan sebulat suara, dua kali. Tapi selepas kita tak capai keputusan baik dalam pilihan raya, presiden ketika itu, Liow Tiong Lai, terus ubah keputusan dan masuk kabinet.
“Dia kata tak masuk kabinet adalah satu kesilapan dan menyalahkan prestasi buruk itu atas saya atau sebab lain. Jadi mereka tetap masuk kabinet.

“Pada 2018, ketika skandal 1MDB sedang memuncak, saya secara terbuka kata sudah tiba masanya MCA keluar dari BN. Tapi sekali lagi, presiden yang sama tidak ada keberanian untuk melakukannya,” katanya.
Chua percaya sekiranya MCA berpegang teguh kepada resolusi “tiada jawatan kabinet” atau keluar dari BN selepas PRU14, parti itu mungkin tidak akan dipersalahkan seteruk sekarang atas kaitan dengan skandal 1MDB.
Namun katanya, pada hari ini, sama ada MCA keluar dari BN atau tidak bukanlah cabaran terbesar parti itu.
Sebaliknya, katanya, MCA perlu memberi tumpuan kepada usaha mengukuhkan kerja akar umbi di kawasan yang berpotensi untuk menang — dengan menumpukan masa, sumber dan tenaga di situ, termasuk mengenal pasti calon-calon berpotensi yang kuat.
[Baca berita asal]