MCA Pulau Pinang mengecam keputusan kerajaan negeri yang mewartakan kadar cukai tanah baru bagi pelbagai kategori tanah berkuat kuasa 1 Jan, dengan menyifatkan jumlah kenaikan itu sebagai “tidak sensitif dan terburu-buru”.
Pengerusi MCA negeri, Tan Teik Cheng, mengingatkan kenaikan cukai antara 29 peratus hingga 200 peratus itu akan menambah tekanan kewangan ke atas lebih 370,000 pemilik tanah daripada kategori kediaman, pertanian, dan institusi keagamaan.
“Walaupun ketua menteri mendakwa langkah ini tertangguh selama 31 tahun, masa dan skala kenaikan ini jelas sekali tidak selari dengan kesukaran ekonomi yang sedang dihadapi rakyat Pulau Pinang.
“Ia juga bercanggah dengan janji Pakatan Harapan untuk meringankan kos sara hidup,” kata Tan dalam kenyataan hari ini.
Semalam, Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow mengumumkan bahawa kenaikan cukai bagi kategori perumahan luar bandar adalah sebanyak 127.27 peratus dan kawasan bandar 29.63 peratus, manakala bagi kategori industri pula, kenaikan bagi kawasan bandar ialah 151.94 peratus dan kawasan luar bandar 200.93 peratus.

Pewartaan itu dibuat di bawah Seksyen 101 Kanun Tanah Negara (Akta 828) melalui Warta Kerajaan Negeri Pulau Pinang No. 37 bertarikh 11 Sept.
Bagaimanapun, semakan cukai tanah ini tidak melibatkan 300,000 akaun cukai petak strata dan mereka akan terus membayar cukai petak strata mengikut kadar sedia ada.
Mengulas lanjut, Tan berkata beberapa kesan daripada kenaikan cukai itu termasuk peningkatan kos pengeluaran makanan; peningkatan kos rantaian bekalan daging tempatan; serta cukai minimum RM50 setiap lot untuk masjid, rumah ibadat bukan Islam dan tanah perkuburan.
“Walaupun kerajaan negeri menawarkan diskaun sementara bagi tempoh 2026 hingga 2028, ia tidak benar-benar menyelesaikan kebimbangan keluarga berpendapatan rendah dan sederhana, petani kecil, serta organisasi keagamaan yang bergantung kepada derma untuk menampung kos kenaikan ini,” tegasnya.
Sebagai respons, Tan berkata MCA mencadangkan supaya kerajaan negeri yang diterajui PH melakukan kajian semula secara menyeluruh terhadap kadar baru itu dengan melibatkan komuniti yang terkesan, dan melaksanakan kenaikan dengan prinsip keadilan serta kemampuan.
“Berikan pengecualian atau diskaun yang lebih besar kepada petani kecil dan isi rumah berpendapatan rendah.
“Dan tarik balik kadar RM50 yang dikenakan ke atas rumah ibadat serta tanah perkuburan.
“Kerajaan Negeri Pulau Pinang perlu lebih terbuka kepada maklum balas, jika tidak ia berisiko dilabel sebagai pentadbiran yang angkuh dan tidak peka.
“Ia juga mesti memastikan bahawa pembangunan dan kutipan hasil tidak dilakukan dengan mengorbankan rakyat yang sepatutnya dibela,” tambahnya.
Bagi mengurangkan kesan dan beban kewangan ke atas semua pemilik tanah, Chow sebelum ini berkata satu mekanisme rebat bayaran cukai sebanyak 32.5 peratus kepada semua pemilik tanah akan dilaksanakan pada 2026, diikuti 20 peratus pada 2027 dan 20 peratus pada 2028.