MCA menggesa Menteri Pendidikan Tinggi, Zambry Abdul Kadir, mendedahkan data terperinci berkaitan kemasukan ke universiti awam, selain mengingatkan bahawa pengambilan pelajar antarabangsa tidak seharusnya menjejaskan peluang pelajar tempatan.
Naib Presiden MCA, Tan Teik Cheng, berkata penafian menteri bahawa pelajar antarabangsa — terutama dari China — tidak menjejaskan peluang pelajar tempatan, tidak memadai tanpa data yang jelas dan terbuka.
“MCA tidak pernah menentang kehadiran pelajar antarabangsa di Malaysia.
“Pelajar dari China dan negara lain dialu-alukan, dan kami mengiktiraf sumbangan mereka kepada kepelbagaian akademik.
“Namun, universiti awam dibiayai oleh peruntukan kerajaan.
“Justeru, perlu ada keseimbangan antara menarik pelajar antarabangsa dan melindungi akses pelajar tempatan terhadap pendidikan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam, Zambry menafikan dakwaan bahawa pelajar dari China mengehadkan peluang pelajar tempatan untuk memasuki universiti awam, sambil menegaskan bahawa pelajar tempatan sentiasa menjadi keutamaan institusi pengajian tinggi.
Penafian itu dibuat susulan gesaan Presiden MCA, Wee Ka Siong, yang membangkitkan isu tersebut di Parlimen sehari sebelumnya.
Wee mendakwa semakin ramai pelajar dari China diterima masuk ke universiti awam di Malaysia kerana mereka mampu membayar yuran pengajian, berbeza dengan kebanyakan pelajar tempatan.

Mengulas lanjut, Tan turut mendakwa semakin ramai ibu bapa dan pelajar mengadu kepada MCA tentang permohonan pelajar cemerlang melalui sistem Unit Pusat Universiti (UPU) ditolak.
“Sebaliknya, ada pihak lain yang diterima masuk melalui saluran terus — biasanya dengan yuran pengajian yang tinggi.
“Trend ini menunjukkan seolah-olah motif keuntungan mengatasi keutamaan terhadap merit dan keadilan,” katanya.
Justeru dia mencadangkan Zambry mendedahkan statistik berkaitan kemasukan ke universiti, melakukan lawatan ke universiti bersama MCA, dan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk menyiasat kesan sistem kemasukan terus serta memperjelas hala tuju kerajaan bagi universiti awam.
Tan turut menggesa Kementerian Pendidikan Tinggi mendedahkan bilangan pelajar Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) yang berjaya mendapat tempat di universiti awam tahun ini.
Dalam ucapan perbahasan Rancangan Malaysia Ke-13 di Parlimen, Wee mencadangkan penubuhan RCI bagi mengkaji ketelusan proses pengambilan pelajar ke universiti awam.
Dia juga menggesa kerajaan melaksanakan reformasi sektor pendidikan tinggi yang menurutnya sedang menghadapi krisis pembiayaan serius, menyebabkan pergantungan semakin besar terhadap yuran pelajar untuk menampung operasi universiti.
“Berdasarkan data terkini, ada universiti yang hanya menerima 61 peratus daripada peruntukan yang dimohon, memaksa mereka bergantung kepada yuran pelajar sebagai sumber pendapatan utama, dan bukannya penyelidikan (R&D) atau perkhidmatan perundingan,” katanya.
Sebagai contoh, Wee menyebut mengenai Universiti Malaya (UM) yang telah menaikkan yuran kursus perubatan di bawah Saluran Terbuka kepada RM500,000 bagi pengambilan tahun 2025/2026 — peningkatan sebanyak 67 peratus berbanding tahun sebelumnya.