Naib Presiden MCA Tan Teik Cheng menggesa Ahmad Zahid Hamidi menilai semula kepimpinannya selepas mendakwa pengerusi BN itu kini menjadi liabiliti terbesar kepada gabungan itu.
Kenyataan keras itu dibuat susulan kenyataan Ahmad Zahid bahawa wujud “Pasukan B” dalam DAP–rakan kerjasama dalam kerajaan–sebelum menarik balik selepas disanggah Setiausaha Agung DAP Anthony Loke,
“Tindakan pengerusi BN yang mendakwa terdapat pasukan B dalam DAP, kemudian menarik balik kenyataan tersebut secara tergesa-gesa, amat tidak wajar serta langsung tidak melayakkannya untuk terus menerajui BN.
“Sebagai pemimpin tertinggi BN, beliau tidak sepatutnya bercakap tanpa berfikir, tidak berpegang pada kata-kata sendiri dan bercanggah antara satu sama lain,” kata Tan dalam kenyataan hari ini.
Kelmarin, Ahmad Zahid dalam ucapan penangguhan Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2025 di ibu negara dilaporkan mendakwa kenyataan bertentangan yang dikeluarkan daripada kepimpinan utama DAP datangnya daripada “Pasukan B”.
Timbalan perdana menteri mendakwa perkara itu dimaklumkan sendiri kepadanya oleh Loke, namun ia tidak mencerminkan pendirian kepimpinan utama DAP, sebaliknya sekadar perbezaan pendapat kecil dalam parti.
Loke menafikan dakwaan itu.
Susulan itu, Ahmad Zahid menjelaskan bahawa kenyataannya tidak bertujuan menggambarkan perpecahan dalaman DAP.
Katanya isu-isu yang dibangkitkan bukan pendirian atau keputusan rasmi DAP, sebaliknya pandangan segelintir pihak dalam parti itu terhadap kenyataan Ketua Pemuda Umno Ahmad Saleh.
“Maksud saya dalam ucapan penangguhan Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2025 adalah untuk menjelaskan bahawa terdapat kenyataan bercanggah daripada segelintir kecil kepimpinan DAP terhadap perkara yang dibangkitkan,” dia dipetik sebagai berkata di Kuala Lumpur semalam.
Kredibiliti BN terjejas
Tan berkata perbuatan tersebut merupakan “penghinaan” langsung terhadap kredibiliti politik BN yang dibina bertahun-tahun.
Tan memberi amaran sekiranya Ahmad Zahid gagal memperbetulkan gaya kepimpinannya, usaha untuk menghidupkan semula gabungan itu hanya akan kekal sebagai retorik kosong.
“Tindak-tanduknya telah menimbulkan kemarahan dan kekecewaan dalam kalangan anggota BN dan rakyat; beliau kini menjadi liabiliti terbesar BN.
“Tingkah laku yang tidak bertanggungjawab seperti ini bukan sahaja merosakkan imej BN, malah menjadikan BN bahan ketawa di peringkat antarabangsa,” katanya lagi.






