Malaysia Oversight

MBSJ beri kontrak 10 tahun kepada Selmax

By MkiniBM in August 2, 2025 – Reading time 2 minute
malaysiakini logo


Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) telah melantik Selmax Sdn Bhd untuk menguruskan parkir di kawasan di bawahnya dengan kontrak selama 10 tahun.

Selmax, yang merupakan anak syarikat kepada ITMAX System Bhd, akan bertanggungjawab ke atas pelaksanaan, pengurusan dan operasi semua petak parkir yang diwartakan di bandar raya tersebut. Syarikat itu akan menerima 50 peratus daripada hasil kutipan bayaran parkir.

“Kerjasama ini mencerminkan komitmen kami dalam menyokong pihak berkuasa tempatan untuk menambah baik operasi parkir melalui penggunaan teknologi canggih.

“Penyelesaian parkir pintar kami telah terbukti berjaya di bandar-bandar lain, dan kami yakin ia akan menyokong visi MBSJ ke arah ekosistem bandar yang lebih berhubung, cekap dan lestari,” kata Pengarah Urusan dan CEO ITMAX, William Tan Wei Lun.

Tan berkata inisiatif itu sejajar dengan projek Bandar Pintar , yang bertujuan mempertingkatkan mobiliti, keselamatan awam dan kualiti hidup melalui infrastruktur digital yang bersepadu.

Kontrak tersebut turut mengandungi pilihan untuk lanjutan selama lima tahun.

Pelantikan itu adalah sebahagian daripada inisiatif Intelligent Parking (SIP), iaitu langkah penswastaan melibatkan pengurusan parkir jalan oleh beberapa pihak berkuasa tempatan di negeri itu.

Bagaimanapun, langkah itu menerima kritikan – termasuk daripada wakil rakyat sendiri – berhubung kurangnya ketelusan dalam penglibatan syarikat swasta dalam urusan pihak berkuasa tempatan.

Mereka antaranya mempersoalkan bagaimana kontrak-kontrak ini dianugerahkan.

Mesyuarat MBSJ

Kebimbangan terhadap peranan Selmax timbul selepas satu mesyuarat antara pegawai penguat kuasa MBSJ dan wakil syarikat itu pada 24 Jun.

Hantaran Facebook oleh Jabatan Penguatkuasaan MBSJ menyatakan bahawa sesi itu telah dipengerusikan oleh seorang penolong pengarah MBSJ dan dihadiri wakil Selmax.

Mesyuarat itu bertujuan menyeragamkan Prosedur Operasi Standard (SOP) penguatkuasaan, selaras dengan penswastaan parkir.

Pada Jun lalu, Exco Tempatan dan Pelancongan , Ng Suee Lim menafikan bahawa sebarang keputusan muktamad telah dicapai berhubung pelantikan konsesi, dan menegaskan belum ada persetujuan dicapai melibatkan empat PBT.

Namun, bermula 1 Ogos, pelaksanaan penswastaan telah berkuat kuasa untuk MBSJ, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan Majlis Perbandaran Selayang (MPS).

Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) pula kekal sebagai satu-satunya pihak berkuasa tempatan yang belum menyertai projek itu.



Source link