Malaysia Oversight

MB persembah senarai calon Exco baru kepada Raja Perlis minggu depan

By MkiniBM in January 1, 2026 – Reading time 2 minute
MB persembah senarai calon Exco baru kepada Raja Perlis minggu depan


Senarai nama calon Ahli Majlis Mesyuarat Negeri (Exco) baru Perlis akan dipersembahkan kepada Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail pada minggu depan, kata Menteri Besar Abu Bakar Hamzah.

Abu Bakar berkata nama calon Exco itu terdiri daripada empat Bersatu sahaja memandangkan Pusat memutuskan untuk tidak menganggotai barisan Exco baru yang akan dibentuknya.

“(Lantikan empat Exco sahaja) memang terlalu mencabar sebab kita ada banyak portfolio… kali ini sekurang-kurangnya lima portfolio satu Exco kena pegang,” katanya pada sidang media sempena acara sambutan Visit Malaysia 2026 di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Padang Besar hari ini.

Pada sidang media Selasa lepas, Abu Bakar memaklumkan pelantikan Exco baru Perlis boleh diteruskan dengan sekurang-kurangnya empat ahli susulan keputusan untuk tidak menyertai barisan pentadbiran negeri di bawah kepimpinannya.

Dalam pada itu, Abu Bakar berkata kerusi DUN Chuping, Bintong dan Guar Sanji yang kosong akan diurus tadbir Pejabat Menteri Besar Perlis dengan melantik penyelaras bagi pusat khidmat rakyat yang akan dibuka di ketiga-tiga DUN itu.

“Apabila berlaku pembukaan pusat khidmat di kawasan itu, maka kita akan merujuk juga kepada kepimpinan sebab itu kawasan kerusi mereka,” katanya.

Semalam, pada sidang media Speaker DUN Rus’sele Eizan mengumumkan penarikan balik pemakluman keperluan Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi mengisi kekosongan luar jangka di tiga DUN itu.

Rus’sele dilaporkan sebagai berkata keputusannya menarik balik pemakluman keperluan mengadakan PRK di tiga DUN itu telah dimaklumkan melalui surat kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Negeri Perlis pada 30 Dis.

Sehubungan itu, Speaker DUN itu berkata DUN Chuping, Bintong dan Guar Sanji akan kekal kosong sehingga pilihan raya umum akan datang.

-Bernama



Source link