Malaysia Oversight

MB Perlis baharu potong gaji RM3,000, Exco baharu RM1,500

By TheSun in December 29, 2025 – Reading time 2 minute
MB Perlis baharu potong gaji RM3,000, Exco baharu RM1,500


Menteri Besar Perlis baharu Abu Bakar Hamzah umum potongan gaji peribadi RM3,000, Exco baharu RM1,500 sebulan bagi kurangkan beban kewangan negeri

KANGAR: Menteri Besar Perlis baharu Abu Bakar Hamzah mengumumkan pemotongan gaji peribadinya sebanyak RM3,000 setiap bulan sebagai usaha mengurangkan beban kewangan negeri.

Beliau berkata langkah itu juga akan dilaksanakan terhadap barisan Ahli Majlis Mesyuarat Negeri (Exco) yang akan dilantik selepas rombakan, dengan jumlah dicadangkan sebanyak RM1,500 sebulan.

“Untuk Exco baharu nanti, saya juga akan nasihatkan mereka untuk membuat pemotongan sebanyak RM1,500. Saya boleh potong RM3,000, saya rasa bagi mereka RM1,500, insya-Allah boleh,” katanya.

Abu Bakar menegaskan pengorbanan itu dilakukan untuk rakyat dan memajukan negeri.

“Kita kena bagi khidmat kita kepada negeri dan rakyat…rakyat di bawah yang nak cari RM500 sebulan pun berat. Jadi saya dengan rela hati buat pemotongan ini supaya rakyat nampak pengorbanan yang kita nak buat untuk majukan negeri,” jelasnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas sesi waktu masuk di Pejabat Menteri Besar di Kompleks Seri Putra hari ini.

Mengenai pelantikan Exco baharu, Abu Bakar akan mengadakan perbincangan dengan Setiausaha Negeri terlebih dahulu sebelum menghantar nama calon kepada Raja Perlis.

Beliau berkata jumlah lantikan Exco baharu akan mengambil kira perbelanjaan negeri serta keseimbangan antara dan Bersatu dalam Perikatan Nasional.

“Kita nak imbang balik antara kepimpinan yang sedia ada antara dua parti supaya pentadbiran ataupun pelantikan Exco ini dapat diselaraskan dengan baik,” ujarnya.

Abu Bakar mengangkat sumpah jawatan di hadapan Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail di Istana Arau semalam.



Source link