Malaysia Oversight

MB minta peniaga makan di DUN Jelai ‘jamu’ ahli PAS

By MkiniBM in August 8, 2025 – Reading time 2 minute
MB minta peniaga makan di DUN Jelai 'jamu' ahli PAS


Menteri Besar Pahang, Wan Rosdy Wan Ismail, mengalu-alukan meneruskan program Hogoh Jelai pada Okt ini dan mempelawa ahli parti itu berkunjung ke kawasan DUN diwakilinya sejak lima penggal lalu itu.

Bahkan dia turut meminta peniaga kedai makan di kawasan Jelai beroperasi pada tarikh program itu berlangsung dan menyediakan makanan yang sedap-sedap untuk penyokong .

“Saya memang mengalu-alukan kehadiran mereka ke Jelai supaya mereka lihat pembangunan di kawasan itu.

“Mereka boleh lihat masjid di Jelai, stesen bas di Jelai macam mana, gerai-gerai dibangunkan dan meninjau projek ekonomi, agropolitan Gahai.

“Mereka juga boleh datang ke kampung saya – Kampung Tanjung Gahai – yang pernah dinobatkan sebagai kampung lestari terbaik peringkat Pahang dan antara yang terbaik di Malaysia,” katanya ketika ditemui media selepas majlis penyerahan kunci PR1MA Pahang Sri Damai, dekat Kuantan, Pahang, hari ini.

Wan Rosdy berkata demikian selepas diminta mengulas mengenai rancangan Pahang untuk mengadakan program Hogoh Jelai sebagai sebahagian daripada siri jelajah PAS Teraju Pahang, Okt ini.

Bagaimanapun, PAS belum mengumumkan tarikh sebenar program itu akan diadakan.

Sebelum ini, Pemuda PAS Pahang menafikan program Hogoh Jelai itu sebagai medan untuk menyemai kebencian.

Ketua penerangannya, Ahmad Azlan Abu Bakar pada 4 Ogos lalu menegaskan, himpunan itu adalah untuk menunjukkan bahawa PAS mempunyai kekuatan dan bersedia untuk menerajui negeri Pahang selepas PRU ke-16.

Wan Rosdy menambah, peserta Hogoh Jelai juga dipelawa melawat Galeri Datuk Seri Haji Wan Rosdy Wan Ismail untuk melihat sendiri keputusan PRU sebelum ini, yang membabitkan kerusi DUN Jelai.

“Datang dan lihat pameran di galeri itu… semua rekod keputusan PRU lalu ada dipaparkan dan mereka dapat tengok bahawa setiap kali PRU, majoriti undi diperoleh saya sentiasa meningkat,” jelasnya.

Dalam perkembangan lain, ketika ditanya mengenai permohonan maaf dikemukakan pemilik dan pengasas Tanah Aina di Pahang, Shariffa Sabrina Syed Akil Sabri, Wan Rosdy memberitahu pihak negeri sedia berunding bagi mencari jalan penyelesaian terbaik dalam hal berkenaan.

“Dia tak boleh minta maaf begitu saja (kerana) ‘damage has been done’ (kerosakan sudah berlaku).

“Kalau dia fitnah Pahang menggunakan media sosial atau media arus perdana, maka dia kena guna saluran samalah.

“Tapi, kita bersetuju dengan permohonan maaf itu, tapi ada beberapa perkara yang pihak beliau perlu bersetuju dengan kerajaan negeri.

“Permohonan maaf dibuat oleh dia itu juga secara tidak langsung menunjukkan ada benda yang tak kena dengan tuduhan dan tohmahan dibuat mereka sebelum ini,” tegasnya.

Wan Rosdy bagaimanapun memaklumkan kerajaan negeri sudah meminta penasihat undang-undang Pahang bertemu dengan Shariffa Sabrina untuk menyelesaikan isu tersebut.



Source link