GEORGE TOWN : Seorang warga emas maut selepas dirempuh oleh sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) yang dipandu seorang lelaki warga asing di Jalan Lembah Permai, Tanjung Tokong di sini, semalam.
Kejadian itu berlaku kira-kira pukul 11.30 malam ketika mangsa yang juga seorang wanita tempatan berusia 67 tahun sedang melintas jalan di kawasan tersebut.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Mohammad berkata, siasatan awal mendapati, ketika kejadian, SUV berkenaan datang dari arah Jalan Mount Erskine menghala ke Jalan Tanjung.
“Akibat perlanggaran itu, mangsa tercampak ke atas jalan dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya di sini, hari ini.
Abdul Rozak berkata, ujian saringan alkohol yang dijalankan ke atas pemandu SUV terbabit seterusnya mendapati, lelaki tersebut disyaki memandu di bawah pengaruh alkohol melebihi had yang dibenarkan.
“Pemandu berusia 51 tahun itu telah ditangkap dan akan direman bagi membantu siasatan,” katanya yang memberitahu, kes itu kini disiasat di bawah Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.-UTUSAN






