Malaysia Oversight

Masjid, surau disaran solat hajat

By MkiniBM in August 24, 2025 – Reading time 1 minute
Masjid, surau disaran solat hajat


Johor menyarankan semua masjid dan surau di negeri ini menganjurkan majlis doa selamat serta solat hajat berikutan kejadian gempa bumi kecil yang melanda Segamat, pagi tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama negeri Mohd Fared Mohd Khalid berkata arahan itu telah disampaikan kepada Jabatan Agama Negeri Johor (JAINJ) bagi menggerakkan inisiatif tersebut demi memohon keselamatan dan kesejahteraan berterusan kepada rakyat serta negeri.

“Berikutan gempa kecil di Segamat, saya telah mengarahkan JAINJ agar menyarankan penganjuran doa selamat dan solat hajat di masjid serta surau di seluruh negeri. Kita berdoa agar Allah memelihara keselamatan rakyat dan negeri ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau turut menyeru umat di negeri ini agar bersama-sama memperbanyakkan doa serta memohon perlindungan daripada sebarang musibah dan bencana.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengesahkan gempa bumi lemah berlaku di Segamat pada 6.13 pagi tadi dengan kekuatan magnitud 4.1, disusuli gegaran lemah kedua pada 9 pagi di Kluang dengan magnitud 2.8.

Bernama



Source link