Masjid Rusila di Terengganu, yang dikaitkan dengan Presiden PAS Abdul Hadi Awang, menafikan versi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) berhubung aktiviti agensi itu di rumah ibadat tersebut bulan lalu.
Ia berhubung dakwaan bahawa APMM telah menjalankan latihan seakan-akan serbuan di masjid berkenaan.
APMM bagaimanapun menafikan perkara itu, dengan menyatakan bahawa para anggotanya hanya menggunakan masjid itu untuk menunaikan solat dan berehat, serta bahawa pihak masjid telah dimaklumkan lebih awal mengenai kehadiran mereka.
Dalam satu kenyataan hari ini, pengerusi jawatankuasa Masjid Rusila, Azri Abdul Aziz, menafikan bahawa pihak masjid tersebut menerima sebarang makluman awal tentang sebarang aktiviti seperti yang didakwa oleh agensi itu.
Tidak jelas sama ada penafian itu merujuk kepada anggota APMM yang menunaikan solat di masjid atau latihan kelangsungan hidup, pengelakan, ketahanan dan pelarian (SERE) yang dijalankan oleh agensi berkenaan.
“Pihak masjid sangat kecewa dengan sikap dan tindakan tidak profesional yang ditunjukkan oleh Maritim Malaysia didalam menangani isu ini,” kata Azri.

Semalam, Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan, mendakwa antara 10 hingga 15 komando agensi itu telah menyerbu masuk ke dalam masjid dengan memakai kasut, melalui kawasan solat wanita dan melakukan pemeriksaan.
Namun, Ketua Pengarah APMM, Laksamana Maritim Rosli Abdullah kemudian menjelaskan bahawa latihan yang dijalankan oleh pasukan khas penyelamat tidak melibatkan kawasan masjid.
Sebaliknya, dia berkata masjid itu hanyalah lokasi persinggahan bagi para pelatih menunaikan kewajipan agama sebelum melaksanakan tugasan seterusnya.
Tidak jelas sejauh mana lokasi sebenar latihan itu dijalankan daripada kawasan masjid.
Sementara itu, di media sosial, satu rakaman telefon yang memaparkan rakaman CCTV — didakwa dari masjid — tersebar sebagai naratif balas terhadap dakwaan PAS.
Video itu menunjukkan dua SUV berhenti dan beberapa lelaki memasuki kawasan masjid berhampiran ruang solat wanita. Lelaki-lelaki itu kelihatan tidak berkasut.

Malaysiakini tidak dapat mengesahkan secara bebas kandungan video tersebut.
Semalam juga, APMM mengeluarkan beberapa gambar yang menunjukkan para pelatihnya berpakaian jubah sedang berkumpul di satu sudut sambil membaca al-Quran.
Takiyuddin turut mendakwa di Parlimen semalam bahawa beliau mempunyai bukti rakaman CCTV yang mengesahkan dakwaannya, namun rakaman itu belum diterbitkan.
PAS kini cuba menggambarkan aktiviti APMM itu sebagai satu ancaman terhadap parti tersebut, seakan-akan insiden Memali 1985, yang menyaksikan pertembungan antara pihak berkuasa dan pengikut seorang pemimpin PAS sehingga mengakibatkan 18 kematian.
Masjid Rusila terletak bersebelahan dengan rumah Presiden PAS, Abdul Hadi Awang.
Hadi juga kerap menyampaikan kuliah dan ceramah di masjid tersebut.






