Proses pencalonan pemilihan peringkat pusat PKR yang berlangsung dari 12 pagi hari ini menyaksikan masih tiada pencalonan bagi jawatan presiden dan timbalan presiden.
Semakan Malaysiakini setakat 8.30 malam (8 Mei), menerusi laman web https://pencalonanpusat.keadilanrakyat.org menunjukkan tidak ada sebarang pencalonan bagi dua jawatan utama.
Sementara itu, sebanyak sembilan pemimpin telah pun membuat pencalonan bagi empat jawatan naib presiden dan 61 pemimpin membuat pencalonan bagi Majlis Pimpinan Pusat (MPP).
Proses penamaan calon dijalankan secara dalam talian.
Pemimpin yang berniat bertanding masih mempunyai masa sehingga 11.59 malam esok, (9 Mei) untuk membuat pencalonan.
Diramalkan, presiden parti, Anwar Ibrahim akan mengekalkan jawatan tanpa bertanding. Sebelum ini, tiga pemimpin PKR disebut-sebut akan bersaing jawatan timbalan presiden.
Penyandangnya, Rafizi Ramli telah mengumumkan akan mempertahankan jawatan. Dua nama yang lain disebut akan memberi cabaran kepada Rafizi adalah anak Anwar, Nurul Izzah dan Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail.
Kedua-duanya bagaimanapun belum memberi kata putus.
Sembilan pemimpin yang telah membuat pencalonan untuk bertanding empat jawatan naib presiden antaranya, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar, Nik Nazmi Nik Ahmad, Menteri Sains dan Teknologi Malaysia Chang Lih Kang, Menteri Besar Negeri Sembilan Aminuddin Harun, Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Malaysia R Ramanan.
Turut bertanding bagi jawatan berkenaan, Timbalan Setiausaha Agung PKR Dr Sathia Prakash Nadarajan, Ahli Parlimen Segamat R Yuneswaran, Ahli Parlimen Bayan Baru Sim Tze Tzin, Senator Abun Sui Anyit dan bekas exco negeri Selangor Hee Loy Sian.
Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil, Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Akmal Nasir, Timbalan Menteri Belia dan Sukan Adam Adli, Setiausaha Politik kepada perdana menteri, Chan Ming Kai dan bekas menteri pendidikan Maszlee Malik antara nama besar bertanding bagi jawatan MPP.