Malaysia Oversight

Masih takut naik kapal terbang, kawal diri bila panik -Intan Najuwa

By Utusan in September 2, 2025 – Reading time 2 minute
Masih takut naik kapal terbang, kawal diri bila panik -Intan Najuwa


PETALING JAYA: Pelakon, Intan Najuwa, mengakui masih bergelut dengan perasaan paranoid setiap kali menaiki kapal terbang lebih-lebih lagi dia membawa anaknya, Imane Lunara pertama kali bercuti ke luar negara.

Bagi mengatasi panik, Intan atau Intan Najuwa Abdul Wahid, 27, akan meyakinkan diri bahawa kapal terbang adalah pengangkutan yang paling selamat di dunia.

“Sejujurnya, perasaan takut itu masih ada. Setiap kali terbang, saya tetap rasa gementar dan cemas. 

“Tapi saya selalu ingatkan diri sendiri bahawa kapal terbang sebenarnya adalah salah satu cara untuk travel yang paling selamat.

“Bila kapal terbang bergoncang, saya akan cuba tenangkan diri dengan ingat bahawa semuanya normal. 

“Kapal terbang direka untuk hadapi situasi seperti ini, dan juruterbang pun sangat terlatih. Jadi insya-Allah, semuanya akan selamat,” tulisnya melalui satu perkongsian di Instagram Story.

Bagaimanapun, pelakon Kekasih Paksa Rela ini turut berkongsi langkah kecik yang diambil bagi meredakan keresahan sepanjang penerbangan terutama ketika bersama anak kecil. 

“Saya akan menonton filem, mendengar muzik, berbual dengan penumpang sebelah, atau melakukan rutin penjagaan kulit untuk alihkan tumpuan daripada rasa takut.

“Ketika rasa panik mula menguasai diri, saya akan buat teknik pernafasan bagi membantu menenangkan minda dan tubuh.

“Saya selalu ingatkan diri, ini semua sementara sahaja. Bila dah sampai dan lihat pemandangan indah atau peluk orang tersayang bila sudah sampai, semua rasa takut itu akan terasa sangat berbaloi,” katanya yang turut mengelak daripada mengambil kopi dan minum banyak air sepanjang penerbangan. 

Terdahulu, Intan beberapa kali pernah berkongsi mempunyai perasaan paranoid dan cemas yang melampau setiap kali mahu menaiki kapal terbang. Malah ketakutan itu menghalang pelakon itu untuk membawa anaknya daripada pergi bercuti.

Menurutnya, perasaan paranoid itu muncul kerana pernah berhadapan gegaran gelora udara (turbulence) yang sangat kuat ketika sedang mengandung membuatnya trauma. -UTUSAN

 





Source link