Baru-baru ini Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan mengenai peruntukan RM40 juta bagi program untuk masyarakat India bawah program Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (Mitra).
Peruntukan itu akan digunakan untuk menambah baik kemudahan di kampung-kampung India (RM5 juta) dan menambah baik makmal komputer di sekolah Tamil (RM5 juta).
Ia juga bertujuan memperkasa rumah ibadat Hindu sebagai pusat komuniti bawah Kementerian Perpaduan (RM20 juta) dan bantuan penyelenggaraan dan memperbaiki kerosakan kecil rumah untuk pekerja ladang India B40 (RM10 juta).
Ketika pemimpin kerajaan dan NGO prokerajaan menyambut baik pengumuman itu, sebenarnya masih banyak soalan belum terjawab.

Namun, bekas pengerusi unit itu R Ramanan membidas pihak yang mengaitkan ‘kegagalan’ agensi itu dengan Pejabat Perdana Menteri (PMO).
Tanpa menamakan individu tertentu, Ramanan yang juga timbalan menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop), menyifatkan kenyataan sedemikian sebagai tidak bertanggungjawab serta dibuat tanpa memahami pelaksanaan sebenar program Mitra.
Siapa kawal Mitra?
Sementara itu, bercakap dengan Malaysiakini, beberapa pegawai kanan Mitra mengakui keliru struktur dan hala tuju unit itu.
“Sejak kerajaan Madani mengambil alih Mitra, unit ini sudah tidak ada hala tuju. Kita sendiri tak tahu siapa yang mempunyai kuasa untuk membuat keputusan berhubung program-program Mitra.

“Kalau sebelum ini, Mitra menjadi unit menapis semua permohonan sebelum meluluskan serta dan menjadi badan kawal selia.
“Sekarang, program-program yang diluluskan oleh kami ditolak oleh PMO. Kami menghabiskan hampir empat bulan untuk menapis semua permohonan sebelum memberi kelulusan. Tapi, ditolak begitu sahaja.
“Lebih kecewa, program-program baru diumumkan tanpa pengetahuan kami,” katanya.
Mitra ditubuhkan pada 2018 sebagai penjenamaan semula kepada Pembangunan Sosioekonomi Komuniti India (Sedic), dengan tujuan menangani isu kemiskinan dan memperkukuh pembangunan sosioekonomi masyarakat India B40.

Unit itu kini berada bawah PMO dan diuruskan oleh Jawatankuasa Pasukan Petugas Khas (JPPK) yang dipengerusikan oleh anggota parlimen Batu P Prabakaran.
Bagaimanapun, baru-baru ini Ramanan diberi tanggungjawab mengawal selia dan memantau pelaksanaan projek yang melibatkan kuil dan sekolah Tamil.
Difahamkan, Anwar melalui Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Johan Mahmood Merican, mengarahkan Ramanan menjaga hal ehwal komuniti India, termasuk merangka inisiatif baru bagi masyarakat tersebut.
Ramanan, yang juga naib presiden PKR dan anggota parlimen Sungai Buloh, baru-baru ini dikatakan mempengerusikan Mesyuarat JPPK Mitra di Bangunan Parlimen tanpa kehadiran Prabakaran.

Selain itu, Ramanan juga dilihat sering menjawab soalan-soalan berkaitan Mitra, sekali gus menimbulkan persoalan mengapa wakil PMO atau Jabatan Perdana Menteri (JPM) tidak menjawab soalan berhubung unit tersebut.
Usaha Malaysiakini menghubungi PMO, Ramanan dan Prabakaran untuk mendapatkan komen tidak berjaya.
Diskriminasi?
Sementara itu, satu lagi pegawai kanan Mitra berkata berasa kecewa dengan keputusan-keputusan berhubung program dan dana Mitra.
“Saya sendiri tidak ada petunjuk mengenai pengumuman baru-baru ini di parlimen. Pengumuman PMX itu bukan sebahagian Mitra, tetapi ia adalah program khas kepada masyarakat India di bawah RMK13 (Rancangan Malaysia Ke-13).

“Maksudnya, kerajaan umum inisiatif kepada masyarakat India di bawah RMK13 tapi menggunakan dana Mitra. Ini jelas satu percanggahan.
“Semua kementerian ada peruntukan masing-masing. Nak baik pulih ICT di SJKT, kita ada dana KPM, untuk memperkasakan rumah ibadat Hindu kita ada dana Kementerian Perpaduan.
“Untuk kampung-kampung India kita ada dana Kementerian Perumahan Dan Kerajaan Tempatan (KPKT). Kenapa nak gunakan dana Mitra?” katanya kepada Malaysiakini dengan syarat namanya tidak didedahkan.
Pada 30 Julai, PMO mengumumkan 16 program diluluskan untuk manfaat masyarakat India sehingga Julai 2025, dengan penekanan kepada bidang pendidikan dan latihan, kerohanian dan kebudayaan, serta kesejahteraan sosial.

Ia melibatkan peruntukan RM21.25 juta, yang merangkumi Bantuan Subsidi Pendidikan Awal Tadika Swasta (RM10.514 juta) yang akan memberi manfaat kepada 4,700 kanak-kanak India dan Program Bantuan Subsidi Dialisis (RM10 juta) bagi membantu 2,000 pesakit buah pinggang dari kaum India mendapatkan rawatan berkala.
Program ketiga ialah Kajian Impak Pelaksanaan Program Pembangunan Sosioekonomi Masyarakat India (PPSMI) 2021-23 dengan peruntukan RM736,952.50 untuk menilai keberkesanan program terdahulu sebagai asas penambahbaikan dasar.
Bagaimanapun, kenyataan media berkaitan tidak menyebut jumlah peruntukan kewangan atau status terperinci bagi setiap 13 program lain yang dikatakan program berimpak tinggi.
PMO juga menjelaskan beberapa permohonan tidak dapat diluluskan atas faktor pertindihan bidang kuasa, terutamanya yang berkaitan dengan program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), yang berada bawah Majlis TVET Negara.
Pegawai-pegawai kanan Mitra yang bercakap dengan Malaysiakini mendakwa kenyataan PMO itu sebagai diskriminasi terhadap masyarakat India.

“Ini sangat mudah. PMO tolak permohonan yang diluluskan Mitra atas alasan bertindih.
“Jadi, kami minta PMO menyenaraikan senarai program yang diluluskan Mitra bertindih dengan kementerian lain.
“Kami nak tahu apa yang bertindih agar pada masa depan ia tidak berulang lagi,” katanya.
Program ‘berimpak tinggi’
Selain itu, mereka juga mempersoalkan program berimpak tinggi diumumkan oleh PMO.
Semakan Malaysiakini mendapati, sejak Disember 2024, Mitra menerima 1,332 permohonan geran bagi PPSMI tahun ini dengan nilai keseluruhan sebanyak RM564 juta.
Sebanyak 43 program dikenali pasti di bawah fasa pertama melibatkan RM36 juta.

Pada April tahun ini, kesemua pemohon menandatangani Surat Setuju Terima (SST) dengan Mitra. Bagaimanapun, PMO baru-baru ini menolak 30 permohonan yang diluluskan Mitra atas alasan bertindih.
Sebaliknya, PMO hanya membenarkan 13 program dengan potongan dana hampir 50 peratus.
Mengikut permohonan asal diterima SST, jumlah peruntukan untuk 13 program ini adalah RM1.7 juta, Namun, kini ia dikurangkan kepada kurang daripada RM900,000.
Lebih mengejutkan, 13 program yang dikatakan berimpak tinggi adalah program nyanyian lagu keagamaan ‘Thevaram’ (enam), latihan bola sepak (tiga), dan masing-masing satu program pelajar STPM, kesusasteraan Tamil, latihan kejuruteraan automasi dan latihan gunting rambut.
“Bagaimana kelas Thevaram, latihan bola sepak, program kesusasteraan Tamil dan latihan gunting rambut dianggap sebagai program berimpak tinggi?
“Ini yang kami tanya semula, siapa yang kawal Mitra?” tanya pegawai itu.