PAT BERSATU | Ketua Wanita Bersatu (Srikandi), Mas Ermieyati Samsuddin, menegaskan parti itu wajar mencontohi DAP yang berjaya mengetengahkan ramai tokoh wanita sebagai pemimpin di parlimen sehingga ia menjadi wajah utama parti terbabit.
Membandingkan apa yang dilakukan DAP dan Bersatu, Mas Ermieyati berkata, jurang perbezaan adalah begitu besar.
Katanya hampir 25 peratus daripada semua ahli parlimen DAP terdiri daripada wanita manakala Bersatu hanya ada seorang, iaitu Mas Ermieyati sendiri.
“Mereka memegang rekod 25 peratus ahli parlimen wanita. Ini satu pencapaian yang menakjubkan.
“Bagaimana pula kita? Saya seorang saja wakil Wanita Bersatu di parlimen… amat menyedihkan,” katanya perhimpunan agung tahunan sayap parti itu di Pusat Konvensyen IDCC, Shah Alam, hari ini.
Tegas Mas Ermieyati, Wanita Bersatu tidak lagi boleh dilihat sekadar memenuhi kuota, sebaliknya perlu dianggap sebagai penentu kemenangan.
Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Masjid Tanah berkata sebagai gabungan Melayu-Islam terbesar, Bersatu dan PN perlu menjadi jaguh dalam usaha meningkatkan jumlah penyertaan wanita dalam kalangan pembuat dasar negara.
“Kita mesti buktikan bahawa wanita adalah penentu kemenangan parti, penggerak jentera dan pemimpin yang mampu membawa suara rakyat di Dewan Undangan Negeri (DUN) serta di parlimen,” katanya.
Sehubungan itu, kata Mas Ermieyati, satu platform melatih dan membimbing lebih ramai wanita agar mampu menjadi pemimpin berkualiti perlu segera direalisasikan. Malah katanya lagi, perkara itu sudah dimaklumkan kepada Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin untuk dipertimbangkan.
Terdahulu, suasana persidangan sayap Wanita Bersatu hari ini turut bertukar pilu apabila ramai perwakilan sebak sewaktu tayangan video tribute kepada arwah Zara Qairina Mahathir dipertontonkan.
Ia dibuat sebagai tanda solidariti terhadap nasib yang menimpa pelajar tingkatan satu berkenaan.
Zara Qairina meninggal dunia di hospital pada 17 Julai, selepas ditemui tidak sedarkan diri di dalam longkang berhampiran asrama SMKA Tun Datu Mustapha, Papar, Sabah pada jam 4 pagi hari sebelumnya.