Malaysia Oversight

Mangsa kebakaran kini stabil, tidak lagi ‘ditidurkan’

By Utusan in August 26, 2025 – Reading time 2 minute
Mangsa kebakaran kini stabil, tidak lagi 'ditidurkan'


SEREMBAN: Keadaan seorang wanita yang ‘ditidurkan’ selepas terhidu bau asap dalam kebakaran melibatkan lima sekeluarga di rumah mereka di Taman Permai Impian di sini, pada 21 Ogos lalu kini sudah stabil dan tidak lagi bergantung kepada mesin bantuan pernafasan.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2.30 pagi itu, mangsa Nur Syafiqah Suboh, 37, dan suaminya, Muhammad Hakimi Umaier Ghazali, 35, mengalami sesak nafas akibat terhidu asap selepas gagal menyelamatkan diri.

Adik mangsa, Muhammad Amir Haziq Suboh, 32, berkata, kakaknya, Nur Syafiqah yang ditidurkan sejak hari kejadian semakin stabil tetapi masih di bawah pemantauan doktor di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Tuanku Ja’afar Seremban (HTJS) di sini.

“Kakak sudah stabil tidak perlu lagi ‘ditidurkan’ atau diintubasi sejak pagi semalam. Bagaimanapun, doktor masih perlu memantau keadaan kesihatan kakak kerana dia masih lemah,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Dalam pada itu, katanya, abang iparnya, Muhammad Hakimi Umaier telah dibenarkan keluar dari hospital petang semalam dan keadaannya pulih seperti biasa.

“Alhamdulillah abang ipar dan tiga anak saudara saya sudah sihat semuanya. Abang ipar dibenarkan keluar dari hospital petang semalam.Buat sementara waktu mereka akan tinggal di rumah ayah di Taman Permai di sini,” katanya.

Sebelum ini media melaporkan, pasangan suami isteri terpaksa ditidurkan selepas lemas akibat terhidu bau asap dalam kebakaran di rumah mereka di Taman Permai Impian di sini pada 21 Ogos lalu.

Tiga anak pasangan itu Muhammad Iman Rizqi, 11, Muhammad Harraz Naufal, 7, dan Muhammad Aisy Mikhail, 3, turut berada dalam rumah ketika kejadian.

Tiga beradik itu telah dimasukkan ke wad kanak-kanak HTJS pada hari kejadian dan dibenarkan keluar dari hospital pada keesokan harinya.

Sebanyak 70 peratus rumah pasangan berkenaan hangus dijilat api selain kebakaran membabitkan sebuah kereta jenis Proton Saga.-UTUSAN





Source link