Malaysia Oversight

Mangsa bom atom suarakan kebimbangan pendirian nuklear PM baru Jepun

By MkiniBM in October 22, 2025 – Reading time 1 minute
Mangsa bom atom suarakan kebimbangan pendirian nuklear PM baru Jepun


Mangsa-mangsa yang terselamat daripada pengeboman atom di Hiroshima dan Nagasaki pada Selasa menggesa Perdana Menteri baharu Jepun Sanae Takaichi supaya tidak berganjak daripada komitmen negara itu terhadap dunia bebas senjata nuklear, sambil menyuarakan kebimbangan terhadap cadangannya sebelum ini bahawa tiga prinsip tanpa nuklear yang telah lama diamalkan negara itu perlu dikaji semula, lapor Agensi Berita Kyodo.

“Walaupun pelantikan perdana menteri wanita pertama adalah bersejarah, saya amat bimbang tentang hala tuju dasar beliau yang kelihatan lebih bergantung kepada kekerasan berbanding dialog,” kata Takeshi Yamakawa, 89, seorang mangsa terselamat pengeboman atom di Nagasaki yang aktif berkongsi pengalaman hidupnya.

Pada 2022, ketika memegang jawatan sebagai ketua dasar Parti Liberal Demokratik (LDP) yang memerintah, Takaichi berpendapat bahawa pengecualian perlu dibenarkan terhadap tiga prinsip Jepun – tidak memiliki, tidak mengeluarkan dan tidak membenarkan kemasukan senjata nuklear – dalam keadaan kecemasan tertentu.

Yamakawa menyuarakan kebimbangan terhadap cadangan untuk mengubah dasar itu, sambil berkata: “Sebagai sebuah negara yang mengetahui dahsyatnya bom atom, perubahan seperti itu tidak boleh berlaku sama sekali. (Tiga prinsip tanpa nuklear) harus dikekalkan sebagai prinsip negara.”

Takashi Hiraoka, 97, yang pernah berkhidmat sebagai Datuk Bandar Hiroshima dari 1991 hingga 1999, menggesa pentadbiran baharu supaya “mengamalkan diplomasi keamanan dengan bersungguh-sungguh.”

Pada Selasa, “Kempen Jepun untuk Penghapusan Senjata Nuklear”, satu gerakan di seluruh negara yang turut disertai mangsa pengeboman atom, mengadakan sidang media tergempar secara dalam talian untuk menyuarakan kebimbangan mengenai kemungkinan dasar nuklear pentadbiran baharu itu..

Bernama – Kyodo



Source link