Malaysia Oversight

Mandiri nafi jadi dalang, biayai demonstrasi di Indonesia

By MkiniBM in September 25, 2025 – Reading time 3 minute
Mandiri nafi jadi dalang, biayai demonstrasi di Indonesia


Kumpulan belia Mandiri menafikan dakwaan yang mengaitkannya sebagai dalang yang membawa kepada demonstrasi di Indonesia baru-baru inni.

Pengarah Eksekutifnya, Amir Hariri Abd Hadi berkata tuduhan itu tersebar di kalangan pengamal media dan peguam Indonesia.

Katanya, Mandiri juga difahamkan beberapa teman yang kini ditahan turut diberi tekanan untuk mengakui menerima sokongan berbentuk dana serta latihan dari Mandiri untuk melakukan tindakan demonstrasi.

“Mandiri turut dihubungi oleh beberapa teman di Indonesia, termasuk oleh pengamal media untuk bertanyakan hal yang sama. Kami turut difahamkan, mereka yang ditahan ketika demonstrasi, turut ditunjukkan gambar Mandiri bersolidariti di hadapan Kedutaan Besar Republik Indonesia di Kuala Lumpur.

“Mandiri menafikan sekeras-kerasnya tuduhan tidak berasas dan ‘absurd’ ini. Mandiri tidak pernah terlibat dengan sebarang penyusunan dan perancangan, secara langsung atau tidak langsung berkait demonstrasi di Indonesia,” katanya dalam kenyataan.

Menurut Amir, tuduhan itu bukan sahaja tidak berasas, malah secara jelas direka untuk mencari kambing hitam di atas kegagalan pemerintah Indonesia.

“Ia juga satu penghinaan buat rakyat Indonesia, yang sudah tentu lebih arif perihal politik domestik mereka,” katanya yang menggesa pemerintah Indonesia membebaskan semua tahanan dan segera menghentikan kegiatan mencari kambing hitam.

b36cb49b7bd49f48719e6e93784e6b5b

Sejak 25 Ogos lalu, berlaku beberapa siri tunjuk perasaan secara besar-besaran susulan langkah pemerintah Indonesia menaikkan elaun perumahan ahli parlimen sehingga 10 kali ganda gaji minimum.

Protes itu bermula secara aman tetapi bertukar ganas selepas tersebarnya sebuah video yang menunjukkan kenderaan polis melanggar seorang penghantar makanan berusia 21 tahun, Affan Kurniawan.

Sejak itu, rusuhan merebak dari Jakarta ke bandar-bandar utama lain, sehingga memaksa Presiden Indonesia, Prabowo Subianto, menarik balik sebahagian daripada rancangan pemerintah.

Sebuah kumpulan hak asasi melaporkan sekurang-kurangnya 20 orang hilang, manakala Menteri Ekonomi Airlangga Hartarto berkata sekurang-kurangnya lapan orang terkorban.

a29c5ad17676dabf4082ead41693d554

Mengulas lanjut, Amir menjelaskan bahawa Mandiri ke Indonesia pada April lalu bagi memperkukuh jaringan solidariti dan bertemu organisasi-organisasi masyarakat sivil di sana, selain mempelajari isu-isu serantau.

“Manakala rakan-rakan dari Indonesia juga sempat melakukan kunjung balas ke Kuala Lumpur pada akhir Julai, dan melakukan perkara sama. Tidak ada sebarang perbincangan berkaitan penganjuran sebarang demonstrasi sama ada di Malaysia atau Indonesia,” tambahnya.

Dia juga menafikan dakwaan bahawa Mandiri disokong individu bernama Riza Chalid; seorang taikun dari Indonesia yang melarikan diri dan dipercayai menetap di Malaysia kerana kes rasuah.

“Kami tidak pernah bertemu atau berhubung dengan beliau, sama ada secara langsung atau tidak langsung. Sekiranya benar beliau kini di Malaysia, kami menggesa agar Malaysia tidak melindungi individu ini dan menghantar beliau pulang untuk diadili,” katanya.

6d2dd4dbce10353bb1f6749838a08ac6

Pada 17 Sept lalu, polis Indonesia meminta notis merah dikeluarkan oleh Interpol terhadap Riza, yang merupakan suspek dalam kes rasuah berhubung pengurusan minyak mentah dan produk penapisan di syarikat tenaga milik negara Pertamina serta Kontraktor Kontrak Kerjasama (KKKS) antara 2018 dan 2023.

Riza, pemilik PT Orbit Terminal Merak, juga berdepan pertuduhan pengubahan wang haram.

Sebelum ini, Menteri Imigresen dan Pemasyarakatan Indonesia, Agus Andrianto berkata Riza dikesan berada di Malaysia selepas meninggalkan Indonesia pada Februari.

Sementara itu, Amir menyatakan kesediaan Mandiri untuk disiasat oleh pihak polis Malaysia.

“Mandiri sentiasa bersedia untuk disiasat, malah percaya bahawa pihak polis Malaysia memiliki semua maklumat, termasuk setiap perjumpaan, serta aliran masuk dan keluar dana akaun Mandiri,”ujarnya.



Source link