PARLIMEN l Selepas diasak bertubi-tubi berhubung kenyataan seorang timbalan menteri yang mendakwa beras tempatan kurang mendapat sambutan, seorang ahli parlimen pembangkang membangkitkan ketiadaan beras tempatan di pasaran.
Muslimin Yahya (PN-Sungai Besar) turut mendakwa beras tempatan hanya terdapat dalam program Jualan Rahmah yang dikendalikan oleh kerajaan.
“Saya terkejut dengan jawapan seorang timbalan menteri yang mengatakan beras tempatan tak laku di pasaran. Ini satu kejutan bagi rakyat seperti kami di bawahan. Saya dapat aduan orang bawahan bahawa sukar untuk mendapatkan beras tempatan di pasaraya di kedai-kedai runcit dan sebagainya.

“Rakyat tak nampak ke mana beras tempatan kecuali di Jualan Rahmah. Kalau ada pun kata mereka, beras-beras yang dijual ini tak berkualiti dah basi.
“Persoalannya ke mana beras tempatan 1.4 metrik tan yang dihasilkan dalam setahun,” katanya dalam ucapan perbahasan di Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13) di Dewan Rakyat, hari ini.
Pada 31 Julai, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Fuziah Salleh memberitahu Dewan Rakyat bahawa naratif dimainkan untuk menggambarkan kenaikan harga barang membebankan rakyat.
Sedangkan, katanya, beras tempatan tidak laku di pasaran.

“Sebelum ini rakyat bising berkenaan ketiadaan beras tempatan, bising betul-betul seolah-olah kerajaan gagal menyediakan beras tempatan.
“Tetapi apabila beras tempatan itu penuh di pasaraya, tak laku. Jualan Rahmah pun tak laku beras tempatan,” katanya.
Bagaimanapun, pembangkang mengecam kenyataan Fuziah sebagai tidak tepat.
Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin (PN-Larut) meminta kerajaan memeriksa kualiti beras tempatan yang terdapat di pasaran.
“Saya terkejut timbalan menteri menjaga kos sara hidup beritahu beras tempatan tak laku. Masyaallah, saya nak bagitahu timbalan menteri, apakah timbalan menteri mendengar keluhan rakyat, apakah timbalan menteri tahu kualiti beras dijual, apakah timbalan menteri faham bahawa rakyat juga tahu kualiti beras?
“Jangan cakap dengan sewenang-wenangnya tanpa memikirkan kepentingan rakyat yang di bawah. Tindak-tanduk begini yang menyebabkan rakyat kecewa,” katanya.

Pandangan sama turut dikongsi oleh Idris Ahmad (PN-Bagan Serai) yang mengatakan rakyat tidak mampu membeli beras tempatan kerana hanya djual dalam kampit 10kg sahaja.
Sementara itu, Muslimin menuntut kerajaan untuk menjelaskan insentif pembajakan dan penuaian yang diumumkan pada tahun lepas.
Katanya, insentif pesawah diperkenalkan Mei 2024, berkaitan insentif pembajakan dinaikkan dari RM100 kepada RM160, manakala insentif penuaian dijanji RM50 untuk sehektar dengan 130,000 pesawah seluruh negara menjadi kumpulan sasaran.
“Berdasarkan pengumuman, sepatutnya pesawah menerima RM210 untuk sehektar untuk semusim.
“Nampaknya, sudah setahun masih tak laksana. Dan baru, kerajaan setuju untuk laksanakan yang itu pun bila ditekan oleh persatuan-persatuan pesawah.
“Saya minta kerajaan untuk menjelaskan adakah kerajaan akan mengagih insentif termasuk tunggakan yang sepatutnya dari Mei tahun lepas,” katanya.
Laporan oleh Qistina Nadia Dzulqarnain, Alyaa Alhadjri, B Nantha Kumar