SHAH ALAM: Pelakon popular, Emma Maembong menafikan dakwaan kononnya dia sedang menjalani sesi ‘fitting’ baju perkahwinan selepas penampilannya bersama DJ Kidd dalam sebuah majlis baru-baru ini mengundang kekeliruan.
Emma atau nama sebenarnya, Fatimah Rohani Ismail, 33, menjelaskan, busana yang digayakan pada malam tersebut hanyalah pakaian bertemakan tradisional perkahwinan sebagaimana yang ditetapkan pihak penganjur majlis.
“Tak baik fitnah saya. Orang kata saya fitting baju kahwin, mana ada orang ‘rehearsal’ kahwin di tempat awam? Malam itu temanya memang baju tradisional, perkahwinan.
“Mungkin sebab semua hadir berpasangan, terus orang ingat saya nak kahwin. Belum lagi, itu cuma tema sahaja,” katanya.
Emma berkata demikian ketika ditemui pada tayangan perdana episod akhir drama Seandainya Kita di sini, semalam.
Mengulas lanjut, Emma menegaskan keterbukaannya hadir bersama DJ Kidd, teman tapi mesranya itu, tidak sepatutnya diperbesarkan kerana ia sekadar memenuhi tema majlis.
“Nak kata terlalu terbuka, biasa sahaja. Saya pun tak nak melebih-lebih. Lagipun saya pun dah berusia, cerita saya pun dah tak eksklusif macam dulu,” ujarnya.
Dalam pada itu, Emma enggan mengulas mengenai kontroversi majlis akikah usahawan Addy Kana yang kini dalam siasatan polis.
“Majlis orang, tak akanlah saya nak komen. Tak ada ‘love’,” katanya ringkas.
Sebelum ini, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan sedang menyiasat sebuah video tular memaparkan majlis akikah dengan tetamu berpakaian kuning lengkap bertengkolok ala istiadat diraja.
Video tersebut didakwa menyalahgunakan lambang diraja dalam sebuah acara peribadi hingga mencetuskan perdebatan di media sosial. -UTUSAN